Buletin

UNITY ONE, EV KECIL 3 TEMPAT DUDUK JENAMA SWEDEN

Idea kereta elektrik adalah suatu yang murni. Di kala dunia terhimpit dengan kos bahan api tinggi dan pencemaran, kereta elektrik dilihat sebagai alternatif yang baik.

Walaupun begitu, terdapat halangan yang menghindari kereta elektrik daripada dinikmati ramai iaitu harga tinggi dan infrastruktur pengecasan.

Pihak pengeluar dan penggubal polisi terus berusaha untuk memecahkan tembok tersebut dan dalam usaha tersebut hadir syarikat bebas dengan produk menarik.

Direka di Sweden dan dibangunkan di United Kingdom, Uniti One adalah EV urban yang cekap dan mampu milik dengan kapasiti tiga penumpang dewasa.

Uniti One ditawarkan dalam dua pilihan saiz bateri dengan jarak pemanduan sehingga 300 km dan boleh dicas dari 20 peratus hingga 80 peratus dalam 17 minit sahaja menggunakan pengecas CCS 50 kW.

Binaan Uniti One sememangnya ringkas, ia digerakkan oleh motor magnet kekal yang memacu roda belakang. Walaupun kecil, ia tangkas dengan kuasa 50 kW (68 hp) dan daya kilas 85 Nm.

Bateri standard yang dibekalkan mempunyai kuasa 12 kWh dengan jarak pemanduan 150 km manakala bateri pilihan 24 kWh pula boleh dipandu sejauh 300 km.

Tambahan lagi 100 km jarak pemanduan boleh diperolehi dengan tempoh pengecasan selama sepuluh minit sahaja menggunakan pengecas CCS 50 kW.

Penggunaan bateri ialah 8.0 kWh untuk setiap 100 km dan ia dibantu oleh beratnya yang hanya 600 kg (tanpa muatan).

Dari segi prestasi, Uniti One boleh memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam masa 4.1 saat dan 0 hingga 100 km/j dalam 9.9 saat sahaja. Kelajuan maksimum ialah 120 km/j.

Terdapat dua mod pemanduan iaitu City yang mengutamakan kecekapan tenaga dan pemanduan bersahaja manakala mod Boost meningkatkan respon pendikit dan tambahan berat pada stereng untuk rasa lebih dinamik.

Satu keunikan pada Uniti One ialah konfigurasi tempat duduk iaitu pemandu di tengah manakala dua lagi penumpang di belakang.

Konfigurasi itu membolehkan penumpang belakang akses keluar masuk yang mudah dengan mengurangkan gangguan kepada pemandu.

Ciri itu sesuai untuk kegunaan di bandar seperti menghantar anak ke sekolah atau sebagai teksi mikro.

Walaupun kecil, ruang simpanan barang di sebalik kerusi belakang mempunyai kapasiti 155 liter. Bahagian kanan dan kiri pemandu boleh digunakan untuk muatan panjang.

Kerusi belakang boleh dilipat dan dipisahkan seterusnya menjadikan Uniti One sebagai kereta satu kerusi dengan kapasiti kargo seluas 760 liter.

Bumbung kereta ini dilengkapi cermin panoramik jenis elektrokromik. Tahap kecerahan boleh dikawal sama ada lutsinar atau gelap dalam masa beberapa saat sahaja.

Bumbung itu juga digelapkan secara automatik supaya kabin tidak panas semasa diparkir yang turut mengurangkan tenaga diperlukan bagi menyejukkan kabin.

Tempahan Uniti One akan dibuka tidak lama lagi dan pembeli terawal yang membayar deposit sebelum penghujung November 2019 layak menjadi ahli eksklusif ‘Founders Club’.

Keahlian tersebut membolehkan pemilik menikmati beberapa keistimewaan seperti naik taraf perisian percuma dan pembaharuan seumur hidup.

Berapa pula harga Uniti One? Masih di dalam lingkungan mampu milik iaitu GBP£15,100 / RM79,680, selepas subsidi kerajaan UK sebanyak GBP£3,500 /RM18,468.

Uniti One akan ditawarkan kepada pelanggan di Utara Eropah terlebih dahulu dengan penghantaran di Sweden dan UK bermula pertengahan 2020.

BACA: LOTUS EVIJA, KERETA HIPER EV BERHARGA RM8.7 JUTA!

BACA: DI UK PUSAT PENGECASAN EV LAGI BANYAK DARIPADA STESEN MINYAK

BACA: NISSAN LEAF BAHARU, AKSES KEPADA EV PERTAMA ANDA!

Google ads
Back to top button