Pandu Uji

Volkswagen Golf Mk VII – RM157,888

Hot hatch yang telah dinobatkan sebagai European Car of the Year 2013 ini sarat dengan teknologi terbaik Volkswagen. 

Model paling berjaya keluaran Volkswagen (VW), Golf telah dilancarkan secara rasminya pada minggu lalu. Pengedar kenderaan jenama VW di Malaysia, Volkswagen Group Malaysia (VGM) nampaknya tidak mengambil masa terlalu lama untuk memperkenalkan model popular itu kepada pelanggan setianya di sini.

Sebenarnya, Golf MK VII diperkenalkan kepada dunia pada 4 September 2012. Ia dilihat sebagai terjemahan jenama VW berkaitan penghasilan sebuah kenderaan yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar, bernilai untuk dimiliki  dan inovatif dari segi rekaan serta kejuruteraannya.

Volkswagen-Golf-Mk-VII-3

Sejarah Golf bermula pada tahun 1974. Sehingga kini, lebih 29 juta unit dari generasi pertama hingga keenam berjaya dijual di seluruh dunia. Sudah memasuki generasi ketujuh, Golf serba baharu itu menerima penambahbaikan pada hampir semua aspek pembinaannya.

Sekali pandang, anda tidak akan tersalah Golf dengan mana-mana model jenama lain. Reka bentuknya telah mengalami evolusi yang menjadikannya jentera lebih baik berbanding model-model terdahulu.

Volkswagen-Golf-Mk-VII-4

Sekali pandang, anda tidak akan tersalah Golf dengan mana-mana model jenama lain. Reka bentuknya telah mengalami evolusi yang menjadikannya jentera lebih baik berbanding model-model terdahulu.

Golf MK VII merupakan model pertama keluaran VW yang dibina berasaskan platform Modular Transverse Matrix (MQB) atau bahasa Jermannya, Modularer Querbaukasten.

Volkswagen-Golf-Mk-VII-5

MQB bermatlamat mengeksplotasi sinergi teknologi-teknologi utama tanpa mengira kelas kenderaan dan jenama yang bernaung di bawah VW. Pendek kata, MQB menjadi paksi kepada penghasilan model baharu VW, Audi, Skoda dan Seat selepas ini. Lebih menarik lagi, MQB memboleh teknologi-teknologi yang lazimnya eksklusif untuk jentera  mewah diakses oleh model keluaran massa.

Menyeragamkan banyak parameter komponen  kenderaan tanpa mengira kelas atau jenama, MQB merangkumi segmen A0 hingga B. Bagi jenama VW, ia meliputi model seperti Polo, Beetle, Golf, Scirocco, Jetta, Tiguan, Touran, Sharan, Passat dan Volkswagen CC. Pada masa depan, semua model tersebut secara teorinya boleh dihasilkan pada saluran pemasangan yang sama.

Mazda CX30

Volkswagen-Golf-Mk-VII-8

Hasil aplikasi platform MQB, hot hatch itu adalah lebih panjang, lebar, rendah dan ringan. Malah ia mengadun semua asas penting yang menghubungkan pemandu dengan kereta mereka.  

Penampilan Golf juga disifatkan sebagai lebih matang. Gayaannya nyata semakin kemas, sporty dan tidak berlebih-lebih. Ia dapat dilihat dengan jelas pada rekaan bampar hadapan, garis tubuh, serta rekaan lampu belakang yang tajam itu.

Ketua Pereka Bentuk Volkswagen AG, Walter de Silva menyatakan, salah satu faktor utama kejayaan Golf adalah kesinambungan gayaannya.

Volkswagen-Golf-Mk-VII-7

Bagi spesifikasi Malaysia, Golf baharu 80 kilogram lebih ringan berbanding model sebelum ini. Maka, penggunaan bahan api adalah 23 peratus lebih baik berbanding model yang digantinya.

Catatan itu sebenarnya  banyak dibantu oleh aplikasi enjin TSI yang dibangun berasaskan kepada Blue Motion Technologies. Jika diteliti, enjin baharu itu bukanlah unit enjin twincharger (gabungan supercharger dan turbo charger). Sebaliknya, ia hanya mengekalkan sistem pengecas turbo bagi menjadikannya kurang kompleks, lebih menjimatkan dan kurang emisi.

Kuasa yang mampu dijana oleh enjin bersesaran 1.4 liter kurang 20PS, lebih tepat lagi 140PS berbanding enjin pada Golf generasi keenam. Namun begitu, sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, kekurangan tersebut ditampung oleh kerangka tubuh dan transmisi berkembar tujuh kelajuan DSG baharu yang 40 kilogram lebih ringan.

Bukan itu sahaja, janaan torknya juga bertambah kepada 250Nm, sekali gus membuatkan hot hatch ini rasa begitu responsif dan seronok dipandu. Prestasinya? Golf berupaya mencapai kelajuan 100km/j dalam tempoh cuma 8.4 saat. Kelajuan maksimumnya pula adalah 212km/j.

Jika dipandu dengan lebih bersopan, jentera itu mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api 5 liter bagi setiap 100 kilometer. Golf juga dilengkapi sistem enjin Start/Stop dan sistem brek janaan semula demi mencapai penjimatan yang mengagumkan itu. Memang terbaiklah kan?

Menyentuh tentang ciri keselamatan pula, Golf menerima penghormatan untuk menjadi model pertama dipasang dengan beberapa sistem bantuan pemanduan yang inovatif. Misalnya, brek multipelanggaran yang belum pun digunakan oleh model mewah lain.

Sistem itu berfungsi memberhentikan sepenuhnya kenderaan selepas berlaku pelangaran bagi mengurangkan tenaga kinetik dan meminimumkan impak pelanggaran kedua.

Selain brek multipelanggaran, Golf juga dilengkapi sistem bantuan lain seperti Adaptive cruise control (ACC), Front Assist, City Emergency Braking, Lane Assist, Park Assist, Sign Assist, Light Assist, pengesan papan tanda, sensor keletihan, sistem perlindungan penumpang yang proaktif dan tujuh beg udara.

Bahagian kokpit, sudut konsol tengah diarahkan kepada pemandu. Rekaan ergonomik itu membolehkan pemandu lebih mudah untuk mencapai butang kawalan sistem infotaimen yang terdiri daripada skrin sentuh bersaiz 5.8 inci.  Ruang tersebut juga dihasil agar lebih mewah menerusi penggunaan material berkualiti tinggi.

Mengulas mengenai harganya, VGM berjaya mengekalkan takat harga Golf tidak jauh berbeza dengan model sebelumnya. Pada harga RM157,888 seunit, Golf serba baharu ini boleh menjadi milik anda.

[hr top]
Gallery
[hr_invisible]

Volkswagen-Golf-Mk-VII-9Volkswagen-Golf-Mk-VII-10Volkswagen-Golf-Mk-VII-11Volkswagen-Golf-Mk-VII-12mekanika - golf xtra 1mekanika - golf xtra 2mekanika - golf xtra 3mekanika - golf xtra

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button