Buletin

VOLKSWAGEN GOLF R 2024 DIPERTONTON DI AUSTRIA!

Hanya beberapa hari lalu Volkswagen memperkenalkan Golf 2024 (Mk8.5) dan kini tiba giliran varian berprestasi Golf R.

Walaupun dipertonton secara terbuka, VW masih menyimpannya di bawah pelekat samaran. VW membawa Golf R ke tapak perlumbaan Ice Race di Zell am See, Austria.

Menurut VW, Ice Race merupakan tempat sesuai bagi meraikan sejarah, masa kini dan masa depan varian berprestasi Golf.

Tidak hanya sekadar acara tontonan, legenda permotoran, Hans-Joachim Stuck dan juara enam kali World Rallycross, Johan Kristoffersson memandu dan menunjukkan keupayaan pelbagai kenderaan VW.

Di antaranya Golf GTI Mk1 yang pertama kali diperkenal pada 1975 dan Golf R32 MkIV dari tahun 2002. VW turut mempertontonkan sebuah kereta rali Golf GTI Mk1 dan dua kereta rali Golf Mk2.

VW sebenarnya belum berkongsi kuasa Golf GTI apatah lagi Golf R secara terperinci.

Semasa diperkenalkan beberapa hari lalu, VW memaklumkan kuasa Golf GTI bertambah 20 kuasa kuda (hp) kepada 261 hp.

Sebagai rujukan, Golf R 2023 pasaran tempatan dengan enjin 2.0 liter menghasilkan 320 ps dan tork 400Nm. 

Dari segi rekaan, di sebalik pelekat boleh dilihat garisan bampar depan baharu sepenuhnya. Perkakasan lain seperti lampu sebaris pada jeriji sama seperti Golf GTI.

Beralih ke bahagian tepi, rim dan skirt sisi sama seperti Golf R 2023. Bahagian belakang dengan spoiler tinggi juga nampak sama.

Pada bahagian dalam, jangkakan skrin papan pemuka seperti Golf GTI dan stereng dengan butang fizikal.

Kepada yang tidak sabar, Golf R hanya akan diperkenal secara rasmi pada pertengahan 2024 dan mungkin akan mengambil beberapa ketika sebelum sampai ke pasaran tempatan.

Tambahan pula, Golf GTI dipasang di Pekan, Pahang. Kilang yang sama juga satu-satunya pusat pemasangan Golf R di luar Wolfsburg, Jerman.

Google ads
Back to top button