Buletin

VOLVO TRUCKS MALAYSIA LANCAR 4 TRAK BAHARU. CIRI KESELAMATAN LEBIH PADU DAN INOVASI TERKINI

Volvo Trucks Malaysia memperkenalkan empat model trak baharu yang memberi fokus kepada aspek keselamatan, produktiviti dan persekitaran pemandu di pasaran Malaysia.

Empat trak tugas berat itu merupakan Volvo FH, FH16, FM dan FMX yang telah dipertingkatkan dengan pelbagai inovasi.

Ia sekali gus dapat menawarkan standard keselamatan, produktiviti, penjimatan bahan api dan fokus kepada pemandu. 

Model-model baharu itu dibangunkan dengan memberi fokus kepada pemandu kerana merupakan penyumbang kepada produktiviti sesebuah perniagaan.

Volvo FM dan Volvo FMX hadir dengan kabin baharu mempunyai fungsi paparan instrumen yang sama seperti model-model Volvo lebih besar.

Ruang dalamannya dipertingkatkan sehingga 1 meter persegi, menawarkan lebih keselesaan dan ruang kerja yang luas.

Bahkan, aspek pandangan kini ditingkatkan sebanyak 10 peratus dengan tingkap lebih besar, garis pintu direndahkan dan cermin baharu.

Dalam pada itu,jentera-jentera berat terbaharu tersebut menawarkan ciri-ciri keselamatan terkini termasuk Kamera Sudut Pemandu bagi membantu menghalang titik buta ketika memandu, terutama apabila pemandu mengambil selekoh.

Ia turut dilengkapi lampu tinggi pintar automatik sepenuhnya yang boleh mengubahsuai kedudukan lampu secara automatik jika terdapat kenderaan datang dari arah bertentangan,Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) dan Sistem Brek Kecemasan Termaju (AEBS).

Volvo FH, FH16, FM dan FMX menawarkan penjimatan bahan api apabila dibangunkan menggunakan inovasi seperti I-Save yang digabungkan dengan enjin D13TC dan satu pakej ciri lain yang menyumbang kepada penjimatan bahan api sehingga 10 peratus untuk rangkaian trak FH da FH16.

Bagi Volvo FH dan FM pula, ia hadir dalam versi LNG yang boleh mengurangkan kos bahan api dan emisi CO2 sehingga 20 peratus.

Selain itu, semua model terbaharu berkenaan didatangkan dengan sistem Volvo Connect sebagai pilihan yang akan ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia tidak lama lagi.

Volvo Connect merupakan portal pelanggan yang padat dengan perkhidmatan digital dan fungsi ketersambungan yang digabungkan ke dalam satu antara muka.

Ia akan memudahkan akses ke atas maklumat, berita dan fungsi yang penting untuk menjalankan perniagaan dengan cekap.

Teknologi tersebut mengandungi Dynafleet, Service Planing, Data Access, Dynafleet Safety Service dan Vehicle Status.

Trak pertama dijangka diserahkan kepada pelanggan Malaysia pada Januari tahun depan. 

Google ads
Back to top button