DAIMLER AKAN BUANG 10,000 PEKERJA UNTUK BIAYAI KOS BINA KERETA ELEKTRIK
Pengeluar kenderaan berpengaruh dari Jerman, Daimler yang memiliki jenama Mercedes-Benz dilapor akan menghentikan 10,000 orang kakitangan di seluruh dunia dalam usaha membiayai kos untuk beralih kepada penghasilan kereta elektrik.
Berita itu timbul hanya beberapa hari selepas Audi memberitahu ia akan membuang 9,500 daripada 61,000 orang pekerjanya di di Jerman di atas alasan sama.
Daimler mengakui bahawa industri automotif kini melalui tranformasi paling besar dalam sejarahnya.
“Pembangunan kenderaan sifar CO2 memerlukan pelaburan yang besar. Sebab itulah Daimler mengumumkan ia bakal melancarkan satu program untuk meningkatkan aspek inovasi, pelaburan dan menjadi lebih kompetitif.
“Sebahagian daripada program itu adalah untuk mengurangkan kos buruh sekitar €1.4 bilion (RM6.4 bilion) menjelang akhir tahun 2022. Selain mengurangkan jawatan pengurusan sebanyak 10 peratus di seluruh dunia,” kata Daimler.
Daimler yang mempunyai tenaga kerja hampir 300,000 dan kilang-kilang di 17 buah negara menegaskan ia akan melakukan pembuangan pekerja secara ‘berhemah’. Langkah itu didakwa dipersetujui oleh kesatuan pekerja di sana.
Sedia maklum bahawa pembuat kereta Jerman agak perlahan dalam mengadaptasi trend teknologi baru seperti pemanduan autonomi dan kereta elektrik. Sedangkan kereta elektrik penting untuk mematuhi garis panduan emisi Kesatuan Eropah yang semakin ketat dan mula dikuatkuasakan pada Januari 2020.
Pada masa sama, jualan kenderaan Jerman terjejas akibat permintaan yang kian perlahan di pasaran China. Perang dagangan di antara Amerika Syarikat dan China juga membantutkan pertumbuhan perniagaan mereka.