VW YAKIN DAPAT MENANDINGI TESLA DALAM PENGELUARAN EV MENJELANG 2023
Kumpulan Volkswagen (VW) mendakwa mampu menandingi Tesla dalam pengeluaran kenderaan elektrik (EV) mencecah 900,000 hingga 1.5 juta unit setahun menjelang tahun 2023.
Ketua Buruh kumpulannya, Bernd Osterloh memberitahu Welt m Sonntag bahawa VW kemungkinan besar boleh meletakkan jenama tersebut mengatasi pengeluar EV Amerika Syarikat itu.
“Jika Tesla mendirikan tiga kilang berupaya menghasilkan 300,000 hingga 500,000 kenderaan, syarikat VW membicarakan tentang pengeluaran 900,000 hingga 1.5 juta unit.
“Kita ingin mencapai sasaran ini pada tahun 2023 dan kemungkinan lebih awal lagi,” katanya.
Menurut Osterloh, kelebihan Tesla adalah mereka mempunyai perisian sendiri di dalam kenderaan dan digunakan untuk mengumpul data.
Bagaimanapun, dia menjelaskan jika VW dapat menawarkan sistem sendiri di dalam kenderaan-kenderaan, ia mampu mengumpul data lebih banyak dalam tempoh singkat.
Dalam pada itu, pelan pengurangan kos akan terus dilaksanakan bagi membantu menangani krisis coronavirus dan isu-isu lain.
“Buat masa ini, kami tidak membincangkan berhubung pengurangan kerja. Dengan model Golf, kami berupaya mengeluarkan pada tahap sama dengan tahun lalu.
“Empat hari waktu bekerja selama seminggu bukan satu masalah kepada kami,” katanya. – carscoops.