VOLKSWAGEN SP2 – KERETA SPORT MILIK VW YANG KITA TIDAK PERNAH TAHU
Di era televisyen kalernya hanya ada satu warna; hitam dan putih barangkali kita lebih banyak mengenali jenama Volkswagen ini hanya mempunyai model Beetle sahaja. Maklumlah, ianya merupakan jenama lagenda di seluruh pelusuk dunia. Tapi sebenarnya Volkswagen suatu ketika dahulu pernah mengeluarkan sebuah model Sports, SP2.
Barangkali peminat kereta di seluruh dunia juga tidak begitu mengenali Volkswagen SP2 ini. Sebenarnya, model ini dibina khusus untuk pasaran di Brazil sahaja. Dan sudah tentu, Volkswagen Brazil merupakan entiti yang bertanggungjawab bagi membina model Sports dua pintu ini. Ianya mula diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 1973.
Menarik tentang Volkswagen Brazil ini, mereka dikhabarkan mempunyai Lampu Hijau daripada Ibu Pejabat di Wolfsburg ketika mahu membuat projek ini. Semua berpunca daripada keputusan pemerintah di Brazil ketika itu yang melarang kenderaan dibawa masuk. Jadi, buat ajalah sendiri Kereta Sports kan.
Secara jujurnya rekaan Volkswagen SP2 ini dilihat dari mata kasar hampir setanding beberapa model Sports dua pintu yang terdapat di pasaran di zaman itu. Rekaannya secara keseluruhan memang nampak garang sangat.
Penggerah utama enjin Volkswagen SP2 ini adalah 1700cc dengan Penyejukan Udara. Ianya hanya mampu menghasilkan kuasa sekitar 75 HP sahaja. Dari titik pegun untuk mencapai kelajuan 60 mph (97 km/j) memerlukan masa 15 saat. Sempatlah habis sebungkus nasi lemak Seringgit baru boleh cecah meter tu nak sampai 100 km/j. Nampak macam lemau. Memang lemau pun.
Sebenarnya di era itu, Volkswagen SP2 ini bersaing terus dengan sebuah lagi model Kereta Sports, Puma yang turut dihasilkan di Brazil. Walaupun mendapat pujian dari segi paras rupa, namun Puma berjaya mengatasi SP2 ini dari segi ke-lemau-an. Walaupun menggunakan saiz enjin yang sama, namun Puma menang atas faktor penggunaan badan fiberglass menjadikannya jauh lebih ringan.
Secara keseluruhannya, sejumlah 10,205 unit model Volkswagen SP2 ini telah dibina sepanjang tempoh produksinya daripada 1973 sehingga tahun 1976. Boleh tahan banyak juga. Manakala sejumlah 670 unit telah dieksport ke luar yang mana 155 daripadanya dibawa masuk ke Nigeria dan hanya sebuah sahaja yang dieksport ke Portugal. Jelas sekali Volkswagen SP2 ini merupakan sesuatu yang selayaknya diburu oleh para Pengumpul Kereta. Apatah lagi, model gantiannya SP3 hanya mampu dijelmakan sebagai Kereta Konsep sahaja.
BACA : MATRA BAGHEERA – KERETA SPORTS YANG TAK BERAPA NAK SPORTS