Buletin

23 KERETA MEWAH DIRAMPAS, DISYAKI SEBAHAGIAN USAHA CUCI WANG HARAM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas wang tunai berjumlah RM5 juta dan 23 kenderaan mewah dalam siasatan pengubahan wang haram dan sindiket Macau Scam sejak beberapa hari lalu.

SPRM juga sudah menahan 20 suspek berhubung siasatan kes itu melibatkan 11 orang awam, lapan kakitangan penguat kuasa dan seorang warga China.

Sebanyak 730 akaun bank yang mempunyai nilai RM80 juta juga telah dibekukan SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata kenderaan mewah terbabit dipercayai daripada hasil keuntungan kegiatan penipuan.

“Sebanyak 23 kenderaan  mewah ditahan, tiada yang kecil-kecil. Pada kami kenderaan ini hasil keuntungan pihak-pihak yang terbabit.

“Antaranya kenderaan-kenderaan mewah itu adalah Bentley, Ford Mustang, Roll Royce, Ferrari, Lamboghini, Porche, Nissan GTR dan beberapa motosikal berkuasa tinggi,” katanya dalam temubual secara langsung menerusi slot ‘SPRM 360’ di MACCfm hari ini.

Azam berkata semua aset berkenaan dan wang tunai berkenaan dianggap sebagai hasil kerajaan.

SPRM kini dalam proses untuk melucuthak akaun dan aset yang cuba ‘dicuci’ dan membawa kes ke mahkamah bagi membolehkan rampasan itu dimasukkan sebagai hasil kerajaan.

“Sindiket ini sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan kita curiga bagaimana mereka boleh berleluasa. Kita akan rampas (akaun, aset) untuk dijadikan hasil kerajaan kerana ini adalah wang hasil penipuan,” katanya.

SPRM juga akan bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) untuk melihat jika ada kesalahan lain yang dilakukan oleh sindiket berkenaan.

Selain penggunaan Akta SPRM 2009 seperti Seksyen 16 dan 17, mereka turut menguatkuasakan peruntukan Kanun Keseksaan seperti kesalahan menipu dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut laporan BH, SPRM menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta merampas wang tunai RM100,000, berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam.

Empat pegawai kanan terbabit masing-masing seorang berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Superintendan, Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan serta dua anggota berpangkat Lans Koperal ditahan sejak petang kelmarin hingga tengah hari tadi, manakala empat lagi ditahan petang tadi.

Semua anggota terbabit bertugas di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor.

Memetik sumber, pegawai berpangkat ACP itu bagaimanapun sudah dibebaskan selepas keterangannya direkodkan, namun seorang lagi pegawai berpangkat Superintendan direman semalam untuk membantu siasatan. – Berita Harian

Google ads
Back to top button