WANITA SAMAN TESLA DAKWA SISTEM KUNCI MODEL Y BERMASALAH – BAHAYA BETUL MACAM NI
Satu demi satu nampaknya saman difailkan terhadap Tesla. Terbaru ialah dari seorang wanita di California yang mendakwa kegagalan pada sistem kunci Tesla akibatkan beliau diserang penjenayah semasa sedang berehat di dalam kereta.
Plaintif dinamakan sebagai Jane Doe dalam saman beliau mendakwa pintu Tesla masih boleh dibuka dari luar walaupun beliau sudah menguncinya menggunakan aplikasi Tesla. Apalah susah sangat dengan sistem kunci tekan punat macam dulu eh?
Menurut saman itu lagi, insiden berlaku di sebuah pusat membeli belah semasa Jane Doe sedang mengecas Tesla Model Y milik beliau. Sebaik memulakan proses mengecas, beliau bergerak ke tempat duduk penumpang untuk berehat dan mengunci pintu kereta menggunakan aplikasi Tesla. Malah beliau mendapati cermin sudah terlipat dan ikon yang menunjukkan kereta sudah terkunci juga dapat dilihat sebelum beliau melelapkan mata.
Sejurus kemudian, saspek yang kemudian dikenali sebagai Jabari Marquis menggoncangkan kereta dari luar dan memasuki kereta dari pintu pemandu. Walaupun pintu dipercayai terkunci tapi rupanya bar hendal pintu bahagian luar berfungsi seperti biasa.
Jane Doe mendakwa Marquis terus menyerang beliau menyebabkan beliau menghubungi 911. Beliau mendakwa pusat membeli belah ini penuh dengan pencabul dan stesen pengecas juga terlalu perlahan. Panggilan kecemasan itu berterusan sehingga tujuh minit sebelum pihak polis tiba.
Jane Doe mendakwa Tesla gagal memastikan pintu kereta terkunci dari luar dan gagal memberitahu penumpang tentang masalah tersebut. Menariknya saman tersebut bukan hanya ditujukan kepada Tesla tapi juga terhadap pusat membeli belah terbabit kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang baik. Sudah tentu saudara Marquis turut didakwa kerana menyerang dan menceroboh.
Kesian juga Tesla ni, lepas satu, satu isu timbul. Mungkin sebab ianya nak jadi terlalu canggih kot. Try hard kata orang sekarang.