Buletin

WARGA BRITAIN JANA PENDAPATAN RM115 JUTA SETAHUN SEWA RUANG DEPAN RUMAH

Kebanyakan orang mungkin tidak peduli sangat dengan laluan di depan kediaman mereka. Tetapi, tahukah anda bahawa ia boleh menjadi sumber pendapatan yang agak lumayan.

Itulah idea di sebalik operasi YourParkingSpace yang berpangkalan di United Kingdom. Laman web tersebut membolehkan pemilik kediaman untuk menyewa ruang jalan di hadapan kediaman mereka mengikut jam, harian, mingguan atau bulanan.

Perkhidmatan tersebut mampu memberi pendapatan sehingga £21juta (RM115 juta) sepanjang tahun ini. Biarpun ketika sekatan pergerakan akibat COVID-19 memaksa ramai orang bekerja dari rumah dan tidak menghadiri perhimpunan sosial.

YourParkingSpace menyenaraikan lebih 250,000 ruang parkir. Pemilik kediaman boleh mendaftar, menyenaraikan lokasi dan menulis penerangan tentang ruang mereka.  

Mereka juga boleh menetapkan harga dan kekosongan, membenarkan parkir ketika tiada di rumah. Harga adalah berbeza. Namun, lokasi-lokasi popular di sekitar London mengenakan caj serendah £2 (RM11) hingga £15 (RM82) atau lebih sejam di lokasi-lokasi tertentu.

Pastinya ia boleh menjadi pendapatan sampingan untuk mereka yang tinggal di kawasan popular dengan permintaan ruang parkir yang tinggi.

Syarikat itu juga menawarkan sekitar 4,000 ruang parkir dengan akses kepada pengecaj kenderaan elektrik. Pemilik lokasi ini memang boleh mengenakan caj premium kerana pelanggan boleh parkir sambil mengecaj kereta mereka.

Ini sememangnya satu idea yang menarik kerana ia membolehkan anda menjana pendapatan daripada ruang yang mungkin tidak atau jarang digunakan. Biarpun begitu, timbul juga persoalan bagaimana jika pelanggan parkir di ruang yang salah dan sebagainya.  

Namun, pengarah urusan YourParkingSpace memberitahu permintaan terhadap ruang parkir dijangka terus kukuh pada tahun 2021. Terutama jika ramai pekerja lebih suka memandu sendiri ke pejabat berbanding menaiki kenderaan awam seperti bas atau kereta api.

Google ads
Back to top button