Motosikal

PENUNGGANG BASIKAL MAUT KEMALANGAN DENGAN LORI DI PUTRAJAYA

Seorang penunggang basikal wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori Jambatan Putrajaya yang juga laluan ke Presint 8, Presint 9 dan Presint 10 di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.40 pagi itu, mangsa yang berusia 34 tahun dari Subang Jaya, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian.  

Seorang saksi, Mohd. Shukri @ Budiman Hassan, 43, berkata, dia menyedari kejadian tersebut sewaktu melalui laluan di Presint 10 ketika pulang ke rumahnya di Presint 11.

“Saya baru habis beriadah serta menggunakan laluan di Presint 10 untuk pulang ke rumah. Ketika itu, saya sedang memandu di belakang sebuah lori.

“Kemudian, saya ternampak lori tersebut seolah-olah terbabas dan naik ke atas penghadang jalan. saya memperlahankan pemanduan dan tiba-tiba ternampak benda tergolek.

“Saya bunyikan hon berulang kali supaya lori berkenaan berhenti. Bila saya turun, rupanya objek yang saya mulanya sangka terjatuh itu adalah basikal,” katanya.

Ujarnya lagi, dia membunyikan hon bagi memaklumkan pemandu lori tersebut dan memberhentikan keretanya untuk melihat keadaan mangsa yang terbaring di atas jalan.

Shukri kemudian periksa nadi mangsa dan mendapati nadinya amat lemah, sebelum menghubungi talian kecemasa. Pada masa sama, terdapat sekumpulan pengayuh basikal melalui jalan tersebut dan turut berhenti bagi memberikan pertolongan.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, dia tidak nampak lori tersebut berlanggar dengan mangsa dan hanya menyedari selepas terlihat wanita itu terbaring.

“Saya nampak lori tetapi tidak nampak kejadian ia berlanggar. Saya ingatkan lori itu terbabas rupanya ada mangsa kemalangan pengayuh basikal,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan mangsa, saksi tersebut berkata, mangsa dilihat mengalami luka selain terdapat sedikit kesan tayar manakala topi keledar yang dipakai turut pecah.

Keluarga mangsa ketika dihubungi memaklumkan mangsa berasal dari Subang Jaya dan datang ke Putrajaya seorang diri untuk menjalankan aktiviti kayuhan basikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Vijaya Rao Samachulu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

“Kita telah menahan pemandu lori untuk siasatan dan kes disiasat di bawah kesalahan trafik mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Kosmo Online, Bernama

Google ads
Back to top button