Artikel Pilihan

WILLER KYOTO RESTAURANT BUS – INILAH DIA BAS RESTORAN SEBENAR

Restoran berkonsepkan seni bina sebuah bas barangkali tidaklah asing buat mana – mana pun tempat di dunia. Kebiasaannya bas bas yang telah lama tersadai kembali diubahsuai untuk dijadikan tempat makan atau pun restoran yang hipster. Tapi bagai mana pula sekiranya bas sebenar yang boleh bergerak di atas jalanraya dan dijadikan sebuah restoran?

Inilah dia keunikan yang terdapat pada Willer Kyoto Bus Restaurant, yang beroperasi di bandar Kyoto, sebuah bandar yang cukup terkenal dengan kebudayaannya serta mempunyai banyak lokasi tumpuan pelancong.

Maka, Willer Express yang cukup sinonim dengan bas bas persiaran mereka di Jepun telah mengambil inisiatif untuk membangunkan sebuah restoran sebenar dengan menggunakan sebuah bas yang bergerak dan bukannya bas yang terdampar sepi.

Ini adalah sebuah bas moden dua tingkat yang telah diubah suai bagi menarik perhatian masyarakat setempat mahu pun luar untuk menikmati hidangan ala Jepun sambil menikmati pemandangan Kota Kyoto yang cukup indah. Apatah lagi ketika tiba musim bunga.

Ruangan dek bawah bas dua tangkat yang panjang ini merupakan tempat penyediaan makanan dan krew selain daripada menempatkan sebuah tandas kecil. Manakala ruang atas menyediakan tempat makan yang cukup eksklusif buat para penumpang.

Jumlah penumpang restoran bergerak ini berupaya memuatkan 25 orang satu satu masa dengan pelbagai konfigurasi tempat duduk, sama ada meja berdua, bertiga atau pun berempat. Harga untuk menikmati juadah ala Jepun ini bermula 7,000 Yen (RM236) untuk set hidangan tengahari dan 9,000 Yen (RM304) untuk set hidangan makan malam. Set makanan Jepun ni kalau nak diikutkan dengan tekak Melayu kita barangkali jauh panggang dari api untuk berselera. Sudahlah bahagiannya jenis yang kecil dan comel. Sekali ngap, habis.

Dengan harga yang mungkin sedikit premium dibayar, penumpang akan dihidangkan beberapa jenis hidangan ala Jepun sebelum menu utama dihidangkan. Menarik juga apabila diperhatikan terdapat lubang lubang di hadapan meja. Ianya sememang direka sebegitu bagi menempatkan cawan / gelas bagi kegunaan penumpang tanpa cawan  / gelas tersebut terbalik dan tumpah. Cukup praktikal.

Selain daripada menikmati hidangan, para penumpang juga akan turut dibawa ke destinasi tumpuan pelancongan sebagai sebahagian daripada harga yang dikenakan. Bagi menampilkan lebih rasa ketika menikmati musim bunga, bahagian bumbung bas juga boleh dibuka bagi membolehkan penumpang menikmati udara segar dari luar.

Bas dengan konsep kuliner pelancongan ini, bakal mengambil masa 2 jam 30 minit bagi setiap satu sesi yang diadakan. Difahamkan, penumpang harus menempah awal untuk menaikinya. Tempat pun terhad. Jenuhlah kena tunggu sebulan dua baru boleh naik.

Dan untuk makluman, konsep sebegini juga sebenarnya wujud cawangan satu lagi di Bandar Tokyo untuk penumpang menikmati restoran bergerak ini.

Kredit Foto : Tangkap Layar YT@ITSUKAJAPANTRAVEL

BACA : DMV JEPUN – APA BENDA SEBENARNYA NI?

BACA : PASCA PIALA DUNIA 2022 – QATAR DERMA LEBIH 3,000 BAS KEPADA LUBNAN

Google ads

B K

Back to top button