
JENTERA TOURING KAYANGAN BMW K 1600 B 2023 KINI DI MALAYSIA. 160HP, BERMULA RM173K!
BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini mengumumkan ketibaan jentera BMW K 1600 B baharu dengan mod tunggangan Rain, Road dan Dynamic, sekali gus meluaskan lagi portfolio motosikal berkuasa tinggi di peringkat tempatan bagi segmen jelajah.
BMW K 1600 B didatangkan dalam warna Black Storm Metallic dan Manhanttan Metallic Matte (Style Exclusive). Motosikal Touring dengan gaya bagger ini mempunyai cermin hadapan lebih rendah, manakala bahagian belakang pula dipadankan bersama indicator LED serta lampu brek pada kotak sisi.
Bahagian hadapan pula terdapat lampu utama LED, lampu membelok adaptif, lampu sampingan LED dan lampu lantai.
Bagger itu turut dilengkapi fungsi kawalan brek enjin (MSR), Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Permulaan Curam (HSC), kawalan luncur elektronik, serta ESA Dinamik Generasi Baharu (dengan Pendatar Muatan Automatik). Ciri lain termasuklah Gear Shift Assistant Pro, Bantuan Mengundur dan Kawalan Tekanan Tayar (RDC) sebagai standard.

Ciri pilihan yang turut ditawarkan sebagai standard termasuklah Penggera Anti-kecurian dan Sistem Pengunci Sentral untuk keselamatan tambahan, serta sistem audio 2.0.
Skrin paparan TFT berwarna 10.25 inci dengan keterhubungan dan Navigasi Peta Terintegrasi dikuasakan oleh aplikasi BMW Motorrad Connected. Slot USB C untuk mengecasan telefon bimbit juga disediakan.
Kluster empat butang yang boleh dikonfigurasi juga membekalkan keupayaan operasi serba intuitif. Sementara sistem tunggangan tanpa kunci membolehkan kenderaan itu dihidupkan dengan lebih mudah berbanding kaedah konvensional.

Untuk keselesaan perjalanan jarak jauh, ia didatangkan dengan panel pemijak. Tempat duduk serba baharu yang lebih rendah membolehkan penunggang mencapai keselesaan maksimum.
K 1600 B dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris berkapasiti 1,649cc yang dipadankan bersama tranmisi enam kelajuan. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 160hp pada 6,750rpm dan tork 180Nm pada 5,250rpm.
Dari transmisi, kuasa dihantar ke roda belakang menggunakan sistem syaf. Enjin tersebut membolehkan motosikal ini mencapai kelajuan maksimum 200km/j. Kadar penggunaan bahan api BMW K 1600 B ialah sekitar 5.9l/100km.
Komponen utama bahagian suspensi ialah rangka jenis titian aluminium tuang yang bersinambungan dengan BMW Motorrad Duolever pada suspensi sangga spring sentral di hadapan. Manakala suspensi belakang menggunakan suspensi jenis Paralever.
Dengan Pelan Pembiayaan yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW K 1600 B baharu bermula daripada RM2,108.00 sebulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus untuk tempoh 4 tahun).
Harga jualan BMW K 1600 B Baharu ialah RM173,500 tidak termasuk insurans. Pelanggan akan diberi jaminan dan pakej bantuan tepi jalan selama 3 tahun.
GALERI:











- BACA: BMW MOTORRAD LANCAR M 1000 RR 50 YEARS M. HARGA BERMULA RM162,519 SEUNIT
- BACA: BMW MOTORRAD MULA PRODUKSI SKUTER ELEKTRIK CE-04. RM49,000 SEUNIT
- BACA: BMW MOTORRAD MALAYSIA LANCAR R NINET 2021. TIGA VARIAN, HARGA BERMULA RM82,500
- BACA: BMW MOTORRAD LANCAR CRUISER R18 B DAN R 18 TRANSCONTINENTAL DI AMERIKA. ENJIN 1.8L, BERMULA RM91K