Artikel Pilihan

FORD GT LEGASI KEMENANGAN 50 TAHUN

Mungkin kerana pengaruh filem Hollywood, jika sebut sahaja kereta buatan Amerika, maka kita akan membayangkan kereta dengan enjin bersaiz lori dan sangat handal jika dipandu lurus. Masuk saja selekoh kereta tersebut akan mengambil selekoh dengan bersepah sepah. Apa yang penting bagi mereka bagaimana kereta tersebut dipandu laju dalam jarak suku batu.

Henry Ford II mengambil alih perniagaan ayahnya iaitu Edsel Ford apabila ayahnya mati ketika melawan penyakit kanser pada tahun 1943. Demi memastikan kelangsungan syarikat sebagai pemasang kapal terbang B-24 untuk USAF, Presiden Amerika Franklin Roosevelt mengarahkan Ford pulang dari tugasannya sebagai tentera laut dan menyambung tugas Edsel Ford sebagai President Ford berkuat kuasa serta merta.

Pada tahun 1963, dalam usaha memajukan perniagaan Ford dalam segmen kereta berkuasa tinggi selepas dicabar oleh Chevrolet, Henry memerlukan sebuah kereta sport dibawah Ford. Jalan yang paling mudah ialah membeli jenama, syarikat, cetak biru dan semua sekali jenama Eropah yang bermasalah untuk diserap dalam Ford.

Namun, usaha pasukan Henry dalam rundingan dengan Enzo Ferrari menemui jalan buntu akibat beberapa terma jualan yang tidak dipersetujui oleh Enzo. Berang dengan Enzo yang memutuskan untuk meninggalkkan meja rundingan di saat akhir walaupun semua kertas kerja dibuat, Henry bertekad untuk memalukan Enzo di litar Perlumbaan Le Mans 24 Jam.

Anda boleh baca artikel berkenaan di SINI.

Ford Mk.I- 1964

Tanpa berlengah lagi Henry menubuhkan satu divisi baru yang dikenali Ford Advance Vehicle diketuai oleh John Wyer (bekas pekerja Aston Martin) dan mencari seberapa ramai jurutera baru dan berpengalaman sebagai kakitangan. Melalui divisi inilah konsep asal Ford GT40 diilhamkan dan dilakar di atas kertas. Cesinya cukup rendah iaitu sekitar 40 inchi sahaja dari permukaan jalan.

Enjin yang digunakan berasal dari Ford Mustang dengan sesaran 4700cc V8. Cesinya pula dibekalkan oleh Lola Cars Internation Ltd sebagai asas pembinaan. Kerjasama ini dilakukan selama setahun antara Lola dan Ford. Perlumbaan Le Mans 1964 dimulakan dengan Ford mempertaruhkan 3 buah GT40 untuk mencabar Ferrari. Namun setelah beberapa pusingan sebuah GT40 yang dipandu oleh Richard Atwood mengalami masalah dengan sistem bahan api dan mula terbakar.

11 jam kemudian sebuah lagi GT40 terpaksa bersara dari perlumbaan akibat masalah ketahanan komponen. Phil Hill terpaksa berhenti selepas 13jam berlumba akibat masalah yang sama. Ini membuktikan GT40 sebuah kereta yang laju namun tidak cukup lasak untuk dibelasah selama 24jam dalam keadaan ekstrim. Ferrari menyapu bersih kedudukan no 1, 2 dan 3 sekaligus membuktikan bahawa mereka adalah juara bertahan di litar Le Mans.

Pada tahun 1965, Henry bertemu dengan Caroll Shelby bagi membantu beliau melakukan perubahan kejuruteraan pada model GT40. Perkara pertama yang dilakukan oleh Shelby ialah mengesan pergerakan angin di sekitar kereta dan mengikut perkiraan Shelby, sebanyak 75 kuasa kuda hilang disebabkan masalah aerodinamik oleh GT40

Rekaan luar GT40 direka semula oleh pasukan Shelby, sistem brek yang lebih besar dipasang, dan enjin asal yang mengeluarkan 271 kuasa kuda ditala semula agar ia menghasilkan 450 kuasa kuda. Ken Miles menguji dan memberi input pada Phil Remington agar mengubah geometri suspensi, ketinggian, dan beberapa input lain agar kereta ini boleh dipandu laju lagi.

Hasilnya GT40 berjaya memenangi perlumbaan Daytona Endurance 2000km. Perlumbaan Le Mans 24 Hours 1965 membuka tirainya dengan Ford menghantar 6 unit Ford GT40 untuk menguasai litar tersebut dan mengalahkan Ferrari. Malah pada kali ini mereka menggunakan enjin yang lebih besar iaitu 7000cc. Bagi Henry Ford II, lebih besar lebih bagus.

Namun sekali lagi masalah ketahanan timbul bermula dengan masalah getaran, kegagalan sistem transmisi dan juga nut skru enjin yang patah ketika berlumba. Menjelang tengah malam semua Ford GT40 terkandas di perlumbaan akibat kegagalan enjin dan transmisi. Semuanya disebabkan kebongokan pengurusan Ford yang memaksa Shelby menggunakan enjin 7000cc mereka berbanding enjin 6000cc talaan Shelby. Serius penulis tidak faham dengan perangai Henry Ford II yang tidak mempercayai enjin 6000cc talaan Shelby

Ford Mk II-1966

Bagi memenangi Le Mans pada tahun 1966, model Mk II dibangunkan bersama-sama dengan enjin sesaran 7000cc V8. Cesinya masih lagi ada persamaan dengan generasi pertama namun beberapa perubahan telah dibuat bagi memuatkan enjin yang lebih besar. Transmisi 5 kelajuan dari ZF digantikan dengan transmisi 4 kelajuan yang lebih lasak buatan Kar Kraft

Bagi menguji ketahanan, enjin, transmisi dan brek diuji di atas rig automatik dengan meniru segala input pemanduan berdasarkan Litar Le Mans. Pada kali ini Ford lebih bersedia, melabur lebih banyak wang dan 3 pasukan berada di garisan perlumbaan dengan menggunakan kereta GT40 Mark II. Pada tahun ini Ford GT40 berjaya memenangi Le Mans yang dipandu oleh Bruce McLaren dan Ken Miles dari pasukan Shelby American.

Mereka mengulangi kejuaraan ini pada tahun 1967, 1968 dan juga 1969. Ia membuktikan jika ditala dengan betul kereta buatan Amerika boleh menguasai litar perlumbaan bukan sekadar berlumba di litar bulat sahaja. Selepas daripada itu, Ford mengeluarkan hanya 7 unit Ford GT40 Mark III untuk dijual.

GT90

Semasa Jaguar berada di bawah seliaan Ford pada tahun 90an, Ford mengambil cesi Jaguar XJ220, memasang enjin V12 dengan bantuan 4 pengecaj turbo dan menamakan kereta konsep ini sebagai Ford GT90. Kereta ini berupaya dipandu selaju 407km/j namun sayangnya kereta ini hanya kekal sebagai kereta konsep sahaja.

Ford GT 2005

Disebabkan hak milik penjenamaan Ford GT40 telah dijual pada pihak ketiga iaitu Safir Engineering dan Ford gagal mencapai kata sepakat, maka Ford menamakan model supercar mereka sebagai Ford GT sahaja. Ia mula ditayangkan di Pameran Kereta Detroit pada tahun 2002 sebagai model konsep dan mula dibuat menjelang 2004.

Mengekalkan legasi Ford GT40, cesi kereta ini menggunakan susun atur MR iaitu enjin akan dipasang di belakang pemandu dan hanya memuatkan 1 pemandu dan satu penumpang dalam satu masa. Ford memanggil semula Caroll Shelby bagi memberi input bagaimana Ford GT ini perlu dibuat. Namun cesi kereta ini tiada kaitan dengan model Mark 1 walaupun dari segi luaran kereta ini kelihatan hampir sama.

Ia memiliki panjang 4640mm, lebar 1950mm, tinggi 1130 mm dan jarak antara roda 2710mm. Enjin yang digunakan ialah V8 5400cc DOHC dengan bantuan supercaj. Ia menghamburkan kuasa 550 kuasa kuda dan menggunakan transmisi 6 kelajuan manual. Ia berupaya mencapai kelajuan maksima 303km/j, dan boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 3.8 saat sahaja.

Ford GT 2016 – Generasi Kedua

Pada tahun 2015, Ford sekali lagi mengejutkan dunia dengan melancarkan Ford GT ketika pemeran kereta North American International Autoshow. Kereta ini telah diuji melalui perlumbaan Le Mans 2016 sebagai menandakan sambutan ulang tahun kemenangan Ford yang ke 50. Ford GT berjaya memenangi kelas LM GTE Pro dengan mengelilingi litar Le Mans sebanyak 340 pusingan dalam masa 24 jam.

Enjin kereta ini dikuasakan dengan enjin 3500cc V6 turbo berkembar dengan teknologi ECO Boost yang menjana kuasa 647 kuasa kuda dan 746Nm tork. Enjin ini dibina sepenuhnya daripada aluminium. Semua kuasa dipindahkan pada sistem transmisi 7 kelajuan klac berkembar yang dihasilkan oleh Getrag dan kuasa enjin akan dihantar pada tayar belakang. Halaju maksima kereta ini ialah 347km/j.

Berbeza dengan generasi sebelumnya, cesi monocoque Ford GT dibina daripada gentian karbon. Sistem kerangka suspensi depan dan belakang pula dibuat daripada aluminium sepenuhnya bagi mengurangkan berat cesi dan sistem suspensi menggunakan geometri pushrod. Cermin hadapan pula menggunakan Gorilla Glass yang dihasilkan oleh Corning bagi mengurangkan lagi berat kereta namun mengekalkan kekuatan cermin.

Berat keseluruhan kereta hanyalah sekitar 1360kg sahaja. Rekaan panel luar dibuat agar udara mengalir mengelilingi kereta dan terus sampai ke GT Wing di bahagian belakang. GT Wing ini akan terbuka dengan sendiri apabila ia mencapai halaju yang ditetapkan dan akan membantu semasa kereta ini membrek. Bagi memberi prestasi yang diharapkan, Ford GT menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 2. Ye la, takkan nak pakai tayar Kangkang atau Linglong.

Sistem brek jenama Brembo dengan bahan seramik telah dipilih untuk memastikan kereta ini berhenti dengan cepat. Rekaan dalaman kokpit kekal minimalis untuk pemandu fokus pada jalanraya. Sama seperti kereta super yang lain, kusyen tidak boleh diubah. Namun stering dan juga pedal box boleh diubah supaya berada dekat dengan pemandu. Tujuannya ialah agar berat pemandu kekal berada di tengah pusat graviti kereta.

Paparan meter digital seolah olah diambil terus dari versi model perlumbaan dan papan pemuka dibalut dengan kulit suede agar ia nampak sport dan klasik pada masa yang sama. Walaupun ia kereta yang fokus pada kelajuan, sistem audio masih lagi dilengkapkan dengan Ford Sync yang berupaya menerima dan melaksanakan arahan suara. Sistem Navigasi akan dipaparkan pada skrin sebesar 6.5 inci.

Disebabkan model ini dibina pada kuantiti yang amat sedikit, ia tidak menjalani ujian kemalangan NCAP ataupun NHTSA bagi menguji kekuatan cesi sekiranya berlaku kemalangan. Sapa nak tanggung kos ujian, mahal wei. Namun berdasarkan kajian, kerangka tenunan sebatian karbon adalah kuat.

Jika anda berminat untuk menguji Ford Gt di litar, anda tidak perlu risau kerana ia sudahpun memiliki roll cage terbina dalam. Ia merupakan kereta lumba untuk litar namun masih boleh dipandu di jalan raya secara sah. Namun versi perlumbaan akan dilengkapkan dengan beberapa ciri tambahan seperti front splitter, rear diffuser, GT Wing kekal dan juga lubang ekzos dibina pada lampu belakang.

Prestasi pecutan dari 0km/j-100km/j hanyalah dalam 3 saat sahaja. Harga bagi varian asas ditawarkan pada 494,750 sehingga 525,750. Sila tukarkan harga tersebut kepada Ringgit Malaysia untuk harga sebenar.Jika anda berminat untuk memiliki kereta ini, mulakan perniagaan menjual kad pengenalan dengan segera. Harga tersebut tidak termasuk cukai yang akan dikenakan oleh pihak kerajaan dan diharapkan tuan-puan bersabar kerana formula untuk kereta murah masih belum dijumpai

Jika kereta super yang lain perlu memasuki trek perlumbaan bagi membuktikan rekaannya adalah cukup laju, Ford GT telah membuktikan 53 tahun yang lepas ia sememangnya telah dibina untuk mengalahkan Ferrari pada waktu itu. 3 tahun yang lepas ia mengulangi kemampuan mereka untuk sekali lagi mengalahkan Ferrari dalam kelas yang sama.

Google ads
Back to top button