Buletin

WRC 2021 – KALLE ROVANPERÄ CIPTA SEJARAH DI ESTONIA UNTUK MUNCUL JUARA

Pemandu muda dari Finland, Kalle Rovanperä mencipta sejarah apabila berjaya muncul juara di Rally Estonia sekaligus muncul sebagai juara termuda dalam sejarah WRC. Kalle Rovanperä yang berusia 20 tahun, 2 tahun lebih muda ketika Jari-Matti Latvala muncul juara termuda sebelumnya pada tahun 2008. Ironinya, Jari-Matti Latvala kini merupakan bos beliau di Toyota Gazoo Racing.

Sungguh pun Kalle Rovanperä berasal dari Finland, namun hakikatnya pemandu muda tersebut kini telah pun menetap di Estonia dan kejayaan di Estonia dianggap sebagai rezeki di bumi sendiri juga memandangkan Estonia dan Finland juga merupakan negara yang berjiran. Maka tidak hairanlah sekiranya ada penyokong dari Estonia yang turut memberikan sokongan kepada beliau. Kalle Rovanperä berjaya mengenepikan duo dari pasukan Hyundai, Craig Breen dan Thierry Neuville untuk muncul juara.

Craig Breen yang kembali memandu untuk pasukan Hyundai di Estonia ternyata tidak menghampakan pasukan walaupun hanya sekadar tempat kedua keseluruhan. Pemandu Irish tersebut ketinggalan agak jauh juga di hadapan Kalle Rovanperä dengan hampir satu minit. Cukup untuk membuktikan bahawa Kalle Rovanperä sememangnya cukup laju dan pantas. Dan tahukah bahawa, kejayaan Craig Breen ini sebenarnya mengulangi cerita yang sama pada tahun lepas, apabila beliau turut berada di podium kedua. Agak ironi di situ

Thierry Neuville juga harus akur untuk berada di tempat ketiga keseluruhan apabila dikenakan penalti 10 saat apabila lewat tiba pada pagi Ahad kerana menghadapi masalah teknikal. Sekiranya ada yang bertanya mana menghilangnya harapan dan hero tempatan Ott Tanak, sebetulnya rezeki masih belum mahu memihak kepada beliau kali ini. Sedang sedap mendahului di awal saingan, malang menimpa apabila beliau mengalami masalah tayar pancit berganda. Terpaksalah menarik diri daripada saingan.

Sementara itu, pendahulu pungutan mata, Sebastian Ogier langsung tidak menyasarkan sebarang kejayaan di Rally Estonia ini sebaliknya beliau lebih menumpukan perhatian untuk menamatkan perlumbaan sebaik mungkin sekaligus menjaga posisi kedudukan pendahulu pungutan mata daripada ancaman rakan sepasukan, Elfyn Evans. Dan hasilnya, Sebastian Ogier berada di kedudukan keempat keseluruhan manakala Elfyn Evans berada di kedudukan kelima.

Sesudah pusingan ketujuh ini berlangsung, tumpuan berikutnya bakal terarah di Renties Ypres Rally Belgium yang bakal berlangsung pada 13 – 15 Ogos nanti. Tumpuan sudah pasti akan diberikan terhadap pemandu tuan rumah, Sebastian Ogier. Boleh menangkah beliau nanti?

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Sebastian Ogier – 148 mata
  2. Elfyn Evans – 111 mata
  3. Thierry Neuville – 96 mata

Kedudukan Mata Pengeluar

  1. Toyota Gazoo Racing – 315 mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 256 mata
  3. M-Sport Ford – 125 mata

BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER MENANG DI CROATIA

BACA : WRC 2021 – TUAH SEBASTIAN OGIER UNTUK MENANG DI SAFARI RALLY KENYA

Google ads

B K

Back to top button