WRC 2021 – SEBASTIAN MENANG & MUNCUL JUARA WRC KALI KE LAPAN!
Kalendar WRC musim 2021 akhirnya melabuhkan tirai dengan aksi terakhir berlangsung di Litar Monza Itali yang menyaksikan pemandu handalan Sebastian Ogier muncul juara sekali gus muncul juara WRC buat kali ke lapan untuk sepanjang sembilan musim dalam penyertaan WRC selama ini.
Walau pun sudah menyatakan hasrat untuk bersara pada penghujung musim ini, namun itu bukanlah alasan untuk pemandu yang berasal dari Perancis ini tidak berlumba dengan bersungguh – sungguh. Ternyata Sebastian Ogier menamatkan kerjaya beliau sebagai pemandu WRC dengan cukup bergaya apabila berjaya mengenepikan saingan rakan sepasukan Elfyn Evans di FORUM8 ACI Rally Monza sekali gus muncul juara FIA WRC bagi musim 2021 ini.
Persaingan sengit musim ini bagi merebut tahta kejuaraan WRC cukup sengit diantara Sebastian Ogier dan Elfyn Evans sehingga ke akhir saingan. Malah, kedudukan pendahulu perlumbaan di FORUM8 ACI Rally Monza ini bertukar sebanyak enam kali sebelum malang menimpa Elfyn Evans yang mengakibatkan jentera Yaris WRC beliau berpusing hingga membenarkan Sebastian merampas pendahulu dan menamatkan saingan hanya dengan 7.3 saat di hadapan Elfyn Evans.
Dan sememangnya rezeki dan tuah memihak kepada Sebastian Ogier apabila beliau hampir terlibat dengan kemalangan yang dasyat apabilla sedikit berlanggar dengan penghadang konkrit pada saingan awal pagi hari terakhir. Mujur juga tiada apa yang serius dan masih mampu meneruskan saingan tanpa masalah.
Elfyn Evans tampak harus akur bahawa musim ini bukan rezeki beliau untuk muncul juara namun setidaknya ini merupakan prestasi terbaik sepanjang kerjaya WRC selama ini. Menduduki tempat kedua keseluruhan di Itali bermakna beliau juga berada di kedudukan kedua keseluruhan bagi kempen WRC. Suatu keputusan yang cukup baik bagi musim pertama bersama pasukan Toyota Gazoo Racing.
Sementara melengkapkan kemenangan podium adalah Dani Sordo yang memandu Hyundai i20 Coupe WRC setelah meninggalkan Thierry Neuville yang turut mengalami jentera terbabas dan kehilangan masa.
Ternyata kemenangan 1 – 2 ini juga membolehkan pasukan Toyota Gazoo Racing untuk muncul juara bagi kategori Pengeluar sekali gus meninggalkan pasukan Hyundai Shell Mobis di tempat kedua dengan mata yang agak jauh juga. Kejuaraan kategori Pengeluar ini yang pertama semenjak tahun 2018 buat pasukan Toyota Gazoo Racing.
Walau pun telah tamat kempen WRC 2021, namun peminat semuanya tidak sabar untuk menantikan saingan musim hadapan bersama jentera hibrid yang baharu.
Kedudukan Pungutan Mata Pemandu
- Sebastian Ogier – 230 mata
- Elfyn Evans – 207 mata
- Thierry Neuville – 176 mata
Kedudukan Pungutan Mata Pengeluar
- Toyota Gazoo Racing – 522 mata
- Hyundai Shell Mobis – 463 mata
- M-Sport Ford – 200 mata
BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER MEMBUAT KEJUTAN DI RALLY ITALIA SARDEGNA
BACA : TOYOTA GAZOO RACING UMUM BARISAN PEMANDU UNTUK MUSIM 2022