Buletin

WRC 2021 – TUAH SEBASTIAN OGIER UNTUK MENANG DI SAFARI RALLY KENYA

Tuah ayam nampak di kaki. Tuah Sebastian Ogier nampaknya berterusan sekali lagi Safari Rally Kenya. Sepatutnya perlumbaan keenam dalam kalendar WRC musim 2021 ini menjadi milik buat pemandu Hyundai, Thierry Neuville yang sedang ‘sedap’ mendahului perlumbaan yang telah lama menghilang dalam siri WRC semenjak diadaakan kali terakhir 19 tahun yang lalu.

Namun, takdir Tuhan tiada siapa menduga. Thierry Neuville terlanggar batu dan mengakibatkan kerosakan teruk pada sistem ampaian bahagian belakang kanan dan terpaksa bersara daripada perlumbaan. Dan peluang yang hadir itu digunakan oleh Sebastian Ogier untuk mendahului meninggalkan rakan sepasukan, Takamoto Katsuta.

Sebetulnya Sebastian Ogier turut diuji apabila jentera Yaris WRC beliau turut menghadapi ditimpa masalah sistem ampaian pada hari Jumaat. Namun beliau kembali bangkit untuk memenangi perlumbaan yang cukup getir dan menguji para pemandu apabila kondiri trek yang cukup berdebu dan berpasir serta ditambah dengan halangan batu di kiri dan kanan laluan.

Safari Rally Kenya ini ternyata menjadi lawan buat beberapa pemandu seperti Oliver Solberg, Kalle Rovanperä, Dani Sordo serta Thierry Neuville. Kesemua mereka menghadapi masalah dan terpaksa bersara daripada perlumbaan. Cumanya, malang yang menimpa pasukan Hyundai yang mana pada tiga perlumbaan sebelum ini mereka juga mendahului tapi akur dengan rezeki dan tuah yang tidak menyebelahi. Mujurlah ada Ott Tanak untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan bagi kekal mengutip mata penting untuk pasukan.

Dan yang pasti, pasukan Toyota Gazoo Racing boleh tersenyum lebar apabila pemandu yang semakin meningkat naik, Takamoto Katsuta berjaya menduduki tempat kedua keseluruhan dan memastikan kemenangan 1 – 2 menjadi milik mereka. Pemandu Jepun itu berjaya meraih podium pertama untuknya bagi musim ini dan mengutip mata penting untuk pasukan sekaligus memastikan Toyota Gazoo Racing kekal mendahului bagi kategori Pengeluar.

Ternyata, keputusan malang yang diterima oleh pemandu handalan yang lain, rupanya menjadi tuah buat pemandu pasukan Ford, apabila Adrien Fourmaux dan juga Gus Greensmith berjaya menduduki tempat keempat dan kelima keseluruhan pada perlumbaan yang cukup mencabar ini.

Perlumbaan berikutnya bakal berlangsung kembali di Eropah dengan Rally Estonia menjadi venue bagi perlumbaan ketujuh untuk musim 2021 ini.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Sebastian Ogier – 133 mata
  2. Elfyn Evans – 99 mata
  3. Thierry Neuville – 77 mata

Kedudukan Mata Pengeluar

  1. Toyota Gazoo Racing – 273 mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 214 mata
  3. M-Sport Rally Ford – 109 mata

BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER MEMBUAT KEJUTAN DI RALLY ITALIA SARDEGNA

BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER MENANG DI CROATIA

Google ads

B K

Back to top button