BuletinMotosikal

YAMAHA MT-09 2021, ENJIN TAMBAH CC DAN BANYAK BARANG BAHARU

Kepada peminat motosikal naked ini ada berita baharu. Yamaha baru sahaja memperkenalkan MT-09 2021 dengan beberapa perubahan seperti rangka, enjin dan sistem elektronik.

Ini adalah perubahan kedua selepas tahun 2017 dan tampil dengan peningkatan besar untuk model yang dikeluarkan sejak tahun 2014.

Di antara perubahan yang dibuat ialah enjin 890 cc, rangka baharu daripada aluminium die cast, roda aluminium ringan, rekaan bunyi untuk rasa pecutan, kawalan elektronik dan reka bentuk baharu.

Berat keseluruhan pula diturunkan sekitar 4kg berbanding model sebelum.

MT-09 2021 menggunakan kerangka aluminium dengan teknologi die cast terkini. Rangka belakang juga diperbuat dari aluminium dengan berat 1.5 kg lebih ringan berbanding rangka dari besi.

Berat rangka, rangka belakang dan arm belakang berjaya diturunkan sekitar 2.3 kg berbanding sebelum ini dan turut menyumbang kepada prestasi pengendalian.

Menggerakkan MT-09 2021 ialah enjin 890 cc crossplane yang lebih besar berbanding 847 cc sebelum ini.

Di antara komponen baharu ialah omboh, rod penyambung, aci engkol, aci sesondol dan kotak engkol yang direka semula untuk menjadikannya lebih ringan.

Sistem bekalan minyak turut direka semula dengan penyuntik dipindahkan dari kepala silinder yang bersambung terus ke bahagian sebelah injap pendikit.

Kuasa enjin MT-09 kini lebih tinggi iaitu 119 PS pada 10,000 rpm dengan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. 

Transmisi pula kekal enam kelajuan dengan fungsi assist dan slipper clutch. Juga dilengkapi ialah quickshifter untuk tukaran menaik dan menurun.

Yamaha turut memberi perhatian kepada roda dan MT-09 menggunakan proses dan kaedah pengeluaran tersendiri dengan berat berjaya diturunkan sekitar 700 gram. 

Sistem elektronik MT-09 dilengkapi IMU (Inertial Measurement Unit) yang telah terbukti digunakan sejak dari YZF-R1 model 2015 paksi (axis). Unit ini mempunyai pengurangan saiz sebanyak 50 peratus dan 40 peratus lebih ringan dengan melihat semula kepada konfigurasi sensor. 

Dari segi reka bentuk model baharu ini jelas berbeza dengan lampu utama projektor LED dan DRL. Walaupun nampak lebih kecil, Yamaha menyeimbangkan bahagian depan dengan rekaan corong udara pada tangki kanan dan kiri dan masih kekal garang seperti sebelumnya.

Selain itu penunggang dibekalkan meter digital berwarna penuh TFT-LCD saiz 3.5 inci yang memaparkan grafik seperti graf tachometer dan sebagainya. 

Yamaha MT-09 2021 dijadual untuk memasuki pasaran Eropah dan Jepun pada tahun depan. Di negara kita, MT-09 sedia ada dijual pada harga RM47,388.BACA: YAMAHA LAGENDA 115Zi TERIMA 3 WARNA DAN GRAFIK BAHARU. HARGA SAMA, RM5,180 SEUNIT

BACA: YAMAHA YZF-R1 DAN YZF-R1M JDM, DARI RM95K!

BACA: YAMAHA TRICITY 155 ABS – OKAY KE 3 RODA?

Kredit foto: Yamaha

Google ads
Back to top button