Motosikal

YAMAHA NMAX 2020 BAKAL LANCAR MINGGU DEPAN?

Baru-baru ini, kami ada menerima satu jemputan daripada pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) ke satu majlis pada Sabtu minggu depan (12 September 2020.

Apabila ditanya adakah mereka akan melancarkan model baharu, HLYM hanya mengunci mulut. Namun, jemputan yang bertajuk “The Rush of Darkness’ itu seakan-akan memberi isyarat jelas bahawa satu model baharu bakal diperkenalkan kepada pengguna di Malaysia.

Persoalannya, model apa? Selepas membuat penilaian ringkas, kami rasa model baharu yang akan dilancarkan itu ialah skuter NMAX 2020. Jika benar, ia memang model yang ditunggu-tunggu oleh peminat skuter tempatan.

Apatah lagi, NMAX sudah berada di pasaran sejak tahun 2016. Dalam tempoh itu, HLYM telah melakukan sekali recall kerana masalah pengesan kelajuan (Januari 2017), selain menawarkan warna hitam dan biru yang baru pada penghujung tahun 2017.

Sebagai pengguna NMAX, saya akui bahawa skuter ini memang cukup praktikal untuk ditunggang setiap hari. Tunganggan selesa dan minyak pun jimat.  

Kalau dirujuk kepada model yang dilancarkan di Indonesia, NMAX versi 2020 dilengkapi banyak penambaikan. Paling menarik ialah teknologi Comunication Control Unit (CCU) yang disambung dengan aplikasi Y-Connect (Yamaha Motorcycle Connect) menerusi Bluetooth.

CCU menawarkan pelbagai ciri seperti mengesan lokasi terakhir motosikal, notifikasi panggilan atau mesej pada skrin speedometer, peringatan servis dan banyak lagi. Skuter itu juga dipasang dengan  sistem Start Stop, Smart Motor Generator, Kawalan Cengkaman, brek ABS, port USB dan panel meter digital.  

Dari segi penampilan luaran pula, NMAX 2020 akan menerima lampu utama dengan rekaan lebih nipis. Manakala lampu belakang seakan-akan menyerupai skuter lebih besar, X-MAX.

Apa pun, jangan lupa tunggu update kami pada Sabtu minggu depan!

Google ads
Back to top button