Buletin

DULU KAYA HASIL MINYAK, KUWAIT KINI TIADA DUIT BAYAR GAJI PENJAWAT AWAM DAN SUBSIDI

Apabila Menteri Kewangan Kuwait, Anas Al-Saleh memberi amaran pada tahun 2016 bahawa sudah tiba masanya untuk negara berjimat-cermat dan bersedia menghadapi hidup tanpa sumber minyak, beliau dipersenda oleh rakyat.

Empat tahun kemudian, negara antara yang terkaya di dunia itu kini dilihat sukar untuk meneruskan hidup berikutan kejatuhan mendadak harga minyak.

Al-Saleh sudah tidak lagi memegang portfolio itu. Penggantinya, Barak Al-Sheetan memberitahu Kuwait memiliki kecairan sebanyak 2 bilion dinar (RM27.1 bilion), namun jumlah itu dikatakan tidak mampu untuk menampung gaji penjawat awamnya selepas Oktober depan.

Amaran itu disuarakan oleh Al-Sheetan kepada parlimen Kuwait ketika perbalahan politik dalaman sekali lagi melambatkan usaha negara Teluk berkenaan untuk kembali ke pasaran bon antarabangsa.

Kuwait yang sebelum ini sangat kaya dengan sumber minyak terpaksa mengeluarkan wang sebanyak 1.7 bilion dinar (RM23 bilion) daripada Dana Awam sebulan. Ini bermakna, jika harga minyak tidak berubah, Kuwait akan kehabisan wang.

Menurut Al-Sheetan, gaji dan subsidi merangkumi 76 peratus perbelanjaan negara.  

Situasi itu sememangnya memberi tamparan hebat dan menguruskan krisis seperti ini bukanlah mudah. Apatah lagi ketika semua undang-undang perlu mendapat kelulusan pihak pembangkang yang menuduh kerajaan menyalahgunakan dana awam.

Kenyataan pahit itu didedah apabila parlimen membincangkan laporan daripada jawatankuasa kewangan dan ekonomi yang menolak draf undang-undang bagi membolehkan kerajaan mengeluarkan bon.

“Jika undang-undang hutang ini diluluskan pada tahun 2017, kita tidak akan berada dalam keadaan sekarang,” kata Al-Sheetan.

Selepas Eurobond dikeluarkan pada tahun 2017, undang-undang itu luput dan membuatkan Kuwait tidak boleh menjual lebih banyak bon. Kerajaan kini mahu mendapatkan kelulusan kerajaan untuk meminjam sebanyak 20 bilion dinar (RM271 bilion).

Bajet defisit Kuwait meningkat sebanyak 69 peratus kepada 5.64 bilion dinar (RM76.4 bilion) pada fiskal tahun lalu. Defisit itu dijangka menjadi 14 bilion dinar (RM189 bilion) untuk fiskal tahun ini.

Jun lalu, pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmed Al-Sabah menggesa perubahan ekonomi agar tidak terlalu bergantung kepada hasil minyak dan amalan lebih berjimat-cermat.

Kuwait nampaknya tidak keseorangan, negara-negara Teluk yang lain seperti Arab Saudi, Bahrain dan Qatar kini bergantung kepada pinjaman untuk mengatasi isu defisit mereka.

“Kuwait ada sistem kepercayaan kami akan kaya selama-lamanya. Tidak ada siapa yang mempunyai keupayaan poliyik untuk memberitahu rakyat Kuwait bahawa semua kemewahan ini akan berakhir jika mereka tidak menyokong perubahan,” kata ketua firma komunikasi kewangan dan politik Bensirri, Fawaz Al-Sirri. – Bloomberg. kredit foto: The Guardian

Google ads
Back to top button