
YARIS G LIMITED – ORIGINAL SEDAP DARI TOYOTA
Toyota Yaris G Limited bukanlah satu produk baru daripada Toyota, sebaliknya ia adalah produk yang sentiasa dikemaskini semenjak diperkenalkan beberapa tahun lepas. Kali terakhir Toyota Yaris diberikan peningkatan ciri moden ialah pada bulan September 2023.
Namun pada bulan April 2024, Toyota Yaris sekali lagi diberi nafas baru melalui pengalaman Toyota dalam acara Toyota GAZOO Racing Festival. Bukan sahaja Toyota Yaris G Limited diberikan kemasan luaran yang lebih terkini, malah beberapa komponen cesi juga ditukar bagi menjadikan pemanduannya lebih mengujakan.
Namun untuk model Yaris G Limited, kemasan luar adalah terhad kepada dengan menukar perumah lampu kabus depan yang baru dan kemasan bampar belakang lengkap dengan diffuser yang baru. Bahagian depan juga menerima kemasan aerokit 2 tona warna yang tampil lebih sporti

Semua ciri pembaharuan pada bahagian luar ini menjadikan Yaris G Limited berbeza dan lebih bergaya berbanding dengan model yang sedia ada.
Bagi kemasan dalaman, Yaris G Limited menerima rekaan grafik yang baru untuk paparan meter, skrin 9 inci dengan ciri Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar, penukar gear di belakang stering, balutan kulit pada roda stering, 2 poin USB C dan juga kusyen yang lebih keras sedikit berbanding model asal.
Kargo belakang masih mengekalkan saiz 286 liter dan boleh dibesarkan menjadi 768 liter apabila kusyen barisan kedua dilipat.

Selain daripada ciri Aerokit, Toyota Yaris G limited turut menerima Cooled Air Intake dengan Open Pod untuk memudahkan proses ambilan udara ke enjin dan Throttle Controller untuk respon enjin yang lebih pantas,
Varian ini juga menerima Chasis Brace yang terdiri daripada stabilizer bar, lower chasis brace, lower anti roll bar, rear chassis brace untuk memberi ketegaran tambahan dan penyerap hentakan sport yang lebih keras untuk respon stering yang lebih pantas
Di atas kertas, kuasa enjin yang dihasilkan masih lagi sama iaitu 105 kuasa kuda dan 140Nm tork, tidak begitu mengujakan. Namun bagi penulis yang biasa memandu Toyota Vios dan Toyota Yaris yang biasa, perubahan komponen pada ruangan enjin memberikan respon yang jauh lebih baik.

Respon enjin terasa “ringan” bagaikan enjin menggunakan Sport Mode sepanjang masa, walhal penulis jarang menggunakan mode tersebut. Tindak balas gear CVT juga terasa lebih lincah untuk memacu Yaris ke depan dengan pantas.
Tetapi dari segi penggunaan bahan api, Toyota Yaris G Limited masih lagi memberikan bacaan yang sangat bagus iaitu sekitar 17.7km bagi setiap liter petrol jika dipandu dalam halaju malar 110km/jam-120km/jam
Terdapat 3 Mode pemanduan yang ditawarkan samaada ECO, Normal ataupun Sport. Pada hemat penulis, mode Normal sudahpun memadai bagi Yaris G Limited ini untuk pemanduan biasa seharian.

Respon dengan penggunaan brek cakera pada semua roda adalah cukup memuaskan walaupun dalam keadaan standard. Jika anda memerlukan bantuan brek, hanya gunakan unit penukar gear di belakang stering untuk mendapatkan kesan “engine braking”.
Dengan penggunaan penyerap hentakan sport, penulis mendapati respon stering terhadap input yang diberikan adalah jauh lebih pantas berbanding dengan Yaris G atau E yang biasa. Bahagian depan Yaris G Limited terasa lebih mudah untuk menukar arah pergerakan selari dengan input stering.
Keadaan ini juga sebenarnya dibantu dengan komponen Chasis Brace yang dipasang pada bahagian atas enjin, bawah enjin, di bawah gandar belakang bagi memberikan ketegaran tambahan pada cesi. Namun ia tidaklah menjejaskan sangat pemandu, terutama jika anda pemandu muda yang berusia awal 20an.

Dari segi ride height pun sebenarnya tidak banyak yang berubah, Yaris G Limited masih diberikan ketinggian yang hampir sama lantas memberikan ruang kepada cesi untuk berayun sedikit ketika melalui jalan tidak rata.
Keadaan ini sebenarnya akan menyebabkan pemandu dan penumpang masih lagi rasa selesa ketika melalui garisan kuning atauy melalui permukaan jalan tidak rata. Mungkin penumpang belakang akan terasa sedikit keras berbanding dengan penumpang di depan.
Sebenarnya berdasarkan pengalaman penulis, adalah perkara yang sukar untuk anda “mengahwinkan” spring yang tepat dengan penyerap hentakan yang sesuai mengikut citarasa anda. Anda perlu bereksperimen beberapa kali, dan dalam proses ini anda akan menghabiskan masa, wang dan juga tenaga yang banyak.

Jadi pada hemat penulis, harga RM 99,600 yang dipinta oleh Toyota bagi model Yaris G Limited ini adalah munasabah, anggaplah ia sebagai upah bagi mengelakkan anda sakit kepala dari memikirkan semua isu di atas.
Tambahan pula semua kerja naik taraf ini tidak akan mengganggu jaminan selama 5 tahun yang ditawarkan oleh Toyota. Lagi menarik ialah semua komponen prestasi tinggi yang ditambah oleh Toyota turut dilindungi oleh jaminan selama 1 tahun atau 20,000km
Jadi anda tidak perlu sakit kepala dan pening di kemudian hari. Malah semua komponen prestasi tinggi ini boleh berintegrasi dengan semua ciri keselamatan Toyota Safety Sense seperti Brek Kecemasan Automatik, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Kamera 360 darjah, Amaran Lintasan Lorong dan juga video perakam digital depan dan belakang dengan ciri sambungan ke telefon pintar.

Cuma terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian penulis yang boleh ditambah baik oleh Toyota. Antaranya ialah terdapat bunyi besi berlaga dan mengikut pengalaman penulis ialah bunyi ini terhasil apabila pelapik getah yang digunakan untuk memasang Chasis Braces terlalu lembut.
Menukar kepada pelapik getah silicon akan menyelesaikan masalah ini. Yaris G Limited juga masih menggunakan tayar yang sama dengan Yaris biasa, dan tayar prestasi tinggi akan meningkatkan lagi pengalaman pemanduan pemilik
Disebabkan menggunakan cesi lama, Yaris tidak menawarkan ciri stering teleskopik yang akhirnya akan mengganggu ergonomik serta keselesaan penulis selepas memandu melebihi 2 jam

Namun secara jujurnya, apa yang ditawarkan oleh Toyota Yaris G Limited ini adalah satu penawaran produk yang menarik, mampu menggamit memori dan perhatian anak muda yang mahukan sebuah jentera untuk kegunaan harian dan mengujakan untuk dipandu setiap hari