Buletin

ZEEKR TERIMA PELABURAN RM3.3 BILION – BOLEH BUAT MODAL UNTUK R&D TEKNOLOGI

Zeekr, jenama kenderaan elektrik Geely Holding mengumumkan mereka menerima pelaburan sebanyak AS$750 juta (RM3.3 bilion) daripada pelabur termasuk daripada pembuat bateri, Contemporary Amperex Technology (CATL).

Antara pelabur lain termasuklah pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Mobileye, Amnon Shashua serta Yuexiu Industrial Fund, cabang pelaburan kerajaan perbandaran Guangzhou. Secara keseluruhan, Zeekr kini bernilai AS$13 bilion (RM57 bilion).

“Pelaburan itu adalah suara keyakinan terhadap prospek pertumbuhan dan masa depan Zeekr yang kukuh,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Geely Holding Group, Daniel Donghui Li.

Modal baharu itu akan digunakan untuk membina rangkaian jualan global serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan ke dalam teknologi.  

Menampilkan alatan berkuasa AI, seperti sistem pemanduan “anti-gelincir” dan pembantu kawalan kereta yang diaktifkan melalui suara, model utama syarikat Zeekr 001 dilaporkan mempunyai jarak tempuh sejauh 1,031km dengan sekali caj. Sebagai perbandingan, Model S Tesla hanya mampu mencapai jarak tempuh pada 637km.

Tahun lalu, Zeekr menjual lebih 70,000 unit di China dan berhasrat untuk mengekalkan momentum yang sama untuk pasaran Eropah.

Selain Zeekr, Geely bekerjasama dengan pengeluar lain untuk menghasilkan EV. Pada 2021, ia membentuk usaha sama dengan jutawan Taiwan, Terry Gou dari Foxconn selain bekerjasama dengan gergasi internet China, Baidu dalam usaha memperkenalkan kenderaan elektrik autonomi pertamanya.

Jenama EV di China sememangnya mendapat manfaat daripada dorongan berterusan di seluruh negara untuk mobiliti hijau. Pada 2022, BYD mengatasi Tesla sebagai penjual EV terbesar di dunia walaupun subsidi kepada pembeli EV ditamatkan pada Januari.

Google ads
Back to top button