" "
Motosikal

ZULFAHMI SAH TINGGALKAN SIC RACING TEAM – TIDAK LAGI BERSAING DALAM MOTO2

Pelumba Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin hari ini mengesahkan bahawa penampilannya bersama SIC Racing Team sudahpun berakhir.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak. Bekas pelumba Moto3 dan Kejuaraan Supersport Dunia itu memaklumkan keputusannya mendapat sokongan daripada pasukan yang diwakilinya.  

Mempamerkan prestasi yang kurang konsisten, Zulfahmi sempat bersaing dalam empat perlumbaan musim ini.

Beliau juga mengakui sukar untuk memperbaiki prestasi sejak permulaan musim. Jadi, demi kebaikan semua pihak, Zulfahmi merasakan lebih baik jika dia mengundurkan diri daripada saingan Moto2.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dan pengurus pasukan, Johan Stigefelt atas kepercayaan dan peluang bersaing dalam Moto2 yang mereka berikan.

“Saya juga memohon jika keputusan ini dibuat secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Pada Februari lalu, Zulfahmi diumum sebagai pengganti Hafizh Syahrin Abdullah yang menandatangani kontrak untuk bersaing dalam MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech3.

Sebelum ini, Zulfahmi bersaing dalam Kejuaraan Supersport Dunia mewakili pasukan Orelac Racing Verdnatura untuk dua musim sejak 2016.

Walaupun sudah tidak lagi bersama SIC Racing Team, Zulfahmi masih terbabit dalam perlumbaan kerana menjadi mentor program pelapis SIC, ‘Impian ke MotoGP’. Program itu bertanggungjawab mengasah bakat baharu dalam perlumbaan motosikal.

Dalam perkembangan berkaitan, Razlan mengucapkan terima kasih kepada Zulfahmi dan mengakui cabaran dalam Kejuaraan Moto2 Dunia memang sangat kompetitif.

SIC dijangka mengumumkan pengganti Zulfahmi pada minggu ini.

kredit foto: FB Zulfahmi

Google ads
Back to top button