
10 RAKYAT MALAYSIA DITAHAN KERANA LUMBA HARAM DI HAT YAI
Sekumpulan sepuluh rakyat Malaysia berusia antara 21 hingga 25 tahun telah tampil memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Hat Yai, wilayah Songkhla, selepas mereka ditahan kerana terlibat dalam aktiviti lumba haram menggunakan kenderaan yang telah diubah suai, sehingga mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising dari ekzos.
Kejadian berlaku pada malam Jumaat apabila enam buah kenderaan berdaftar di Malaysia dikesan meluncur laju di Jalan Kanchanawanit sambil menghasilkan bunyi kuat yang mencetuskan rungutan daripada penduduk tempatan.
Susulan aduan tersebut, pihak polis dari Balai Polis Kho Hong dengan kerjasama anggota polis pelancong dan trafik telah melancarkan operasi dan berjaya menahan kesemua enam kenderaan serta pemandunya pada pukul 11 pagi, 17 Mei 2025.

Menurut pihak berkuasa Thailand, kesemua pelaku dikenakan empat pertuduhan utama iaitu memandu secara mengganggu aliran lalu lintas, pemanduan berbahaya, mengubah suai kenderaan tanpa kelulusan serta tidak melengkapkan kenderaan dengan ciri keselamatan yang ditetapkan.
Mereka dibawa ke balai polis untuk dikenakan denda berdasarkan undang-undang jalan raya Thailand dan turut diberikan taklimat khas mengenai peraturan lalu lintas negara itu dengan bantuan penterjemah.
Dalam sesi tersebut, kumpulan pelancong dari Malaysia itu menyatakan rasa kesal atas tindakan mereka yang mengganggu komuniti tempatan.

Sebagai tanda penyesalan, mereka membuat isyarat ‘wai’, satu bentuk penghormatan tradisional Thai dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama pada masa akan datang.
Selesai urusan perundangan, kumpulan itu terus meninggalkan Thailand dan pulang ke tanah air, menamatkan lawatan tiga hari mereka di negara jiran tersebut.
Ketua Polis Balai Kho Hong, Kolonel Apichat Wannako, mengingatkan pelancong asing terutamanya dari Malaysia, Indonesia dan Singapura agar lebih peka dan mematuhi undang-undang lalu lintas Thailand.
Beliau turut menasihati pengendali pelancongan supaya memberi penekanan kepada aspek pematuhan undang-undang kepada pelanggan mereka. – Khaosod
- BACA: VIRAL DI TIKTOK, HANTAR KERETA BAHARU GUNA HELIKOPTER
- BACA: MINYAK PELINCIR PERLUMBAAN TIDAK SESUAI UNTUK KERETA BIASA – APA PASAL BANG?
- BACA: STELLANTIS BAWA MASUK EUROREPAR KE MALAYSIA, SASAR KUKUHKAN RANGKAIAN SELEPAS JUALAN
- BACA: “INI MONSTER!” – VW UMUM GOLF GTI ELEKTRIK BAKAL LETUPKAN PASARAN!