Pandu Uji

10 SEBAB VOLKSWAGEN TIGUAN ALLSPACE LIFE 1.4 TSI MERUPAKAN PEMBELIAN TERBAIK

Volkswagen sudah tidak menjual sedan atau hatchback mahupun SUV dalam kategori mampu milik. Tiada lagi Vento dan Polo yang berharga di bawah RM 100,000. Semua produk Volkswagen dijual dan diposisikan pada aras harga yang lebih mahal, mungkin sama mahal dengan kenderaan buatan Mazda yang diimport terus dari Jepun.

Walaubagaimanapun posisi harga Volkswagen berada di bawah penawaran harga kereta Continental yang lain seperti Mercedes, BMW ataupun Audi. Model Volkswagen paling murah sekarang ialah Golf R Line 1.4 TSi yang berharga RM 170,000. Bagi pasaran Malaysia, hanya ada satu SUV sahaja yang dipasarkan buat masa ini iaitu Tiguan.

Tiguan datang dengan versi Allspace, berupaya memuatkan 7 penumpang termasuk pada barisan ketiga dengan selesa. Terdapat 3 perisa utama untuk Tiguan samaada Tiguan Allspace R Line 2.0 TSi dengan harga RM 234,000. Tapi Tiguan juga ditawarkan dalam 2 varian yang lebih menarik iaitu Tiguan Allspace Elegence dan Tiguan Allspace Life

Kedua-dua model Elegence dan Life ini hanya dipadankan dengan enjin 1400cc TSi, namun selepas memandu uji SUV ini selama beberapa hari penulis rasakan bahawa Tiguan Allspace Life merupakan tawaran terbaik daripada Volkswagen untuk sebuah SUV. Antara sebabnya ialah:

1. Harga berbaloi – Tiguan Allspace Life dijual dengan harga RM 173,990 untuk sebuah SUV 7 tempat duduk dengan ruang kargo sebesar 230 liter. Kalau anda bandingkan dengan Golf R Line iaitu sebuah kereta kompak 5 tempat duduk dengan ruang bagasi sekitar 380 liter, maka anda rasa baik beli Tiguan Life kan?

2. Enjin EA211 – ia merupakan enjin yang sama ditawarkan pada Golf R Line dan juga Tiguan Allspace Elegance. Enjin ini menjana sehingga 148 kuasa kuda dan juga 250Nm tork seawal 1500 RPM sudah cukup untuk memacu SUV seberat 1460kg. Malah dengan semua 7 penumpang pun enjin ini boleh memacu Tiguan dengan selamba di lorong kanan lebuh raya

3. Cukai jalan murah – disebabkan saiz enjin 4 silinder ini kurang hanyalah 1395cc sahaja, maka cukai jalan untuk setahun hanyalah RM 100 sahaja. Sebagai perbandingan cukai jalan untuk Perodua Aruz 1500cc ialah RM 120 setahun.

4. Transmisi klac basah berkembar 6 kelajuan – isu transmisi DSG yang menghantui Volkswagen dulu rasanya isu yang lama dan disebabkan penggunaan klac kering (dry klac) 7 kelajuan. Tiguan terbaru dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac basah.

Volkswagen menyatakan bahawa penggunaan petrol ialah sekitar 12.98km bagi setiap liter petrol. Namun dengan pemanduan berhemah di lebuh raya pada laju antara 110-130km/jam, anda boleh mendapatkan bacaan sekitar 13.33km bagi setiap liter petrol. Angka ini diperolehi dengan penumpang penuh dan juga barangan membeli belah di Padang Besar.

5. Sama seperti Tiguan Allspace Elegence – ya dari segi luaran, varian Life cuma kehilangan kemasan krom di bampar depan sahaja. Varian Life menerima lampu depan IQ Light depan dan belakang sama seperti varian lain yang mahal, masih mendapat rim 18 inci dengan tayar Pirelli Scorpion Verde dan juga rel bumbung dengan keupayaan membawa beban sebanyak 75kg.

6. Kusyen sahaja berbeza – ya perbezaan pertama ialah ia hanya mengenakan balutan fabrik, tiada ciri ventilasi, tiada bantuan kuasa elektrik dan tidak dipasang dengan lampu kabin LED dengan penawaran 30 warna berbeza.

Itu sahaja yang berbeza, namun bagi penulis kusyen fabrik lebih lembut dan lebih selesa untuk perjalanan jarak jauh. Tak sakit belakang beb. Malah ia masih menyediakan ciri untuk menghasilkan kontur penyandar belakang yang sesuai dengan anda

7. Aspek keselamatan sama – sama seperti varian Elegance dan R-Line, varian Life masih menawarkan 6 beg keselamatan udara, sistem kawalan kestabilan elektronik, 1 poin ISOFIX, Lane Keep Assist, Driver Attention Alert yang akan membunyikan amaran jika anda mengantuk dan juga sistem cruise control yang pasif.

Dalam aspek kekukuhan cesi, Tiguan Allspace telah diuji dalam ujian keselamatan IIHS dengan penarafan Top Safety Pick+. Ini bermakna Tiguan mendapat skor terbaik dalam ujian perlanggaran depan, sisi dan juga roll over. Cuma sayangnya apabila dipasarkan di Malaysia, ia tidak disertakan dengan brek kecemasan automatik (AEB)

8. Dalaman memang luas – jarak antara roda bagi Tiguan Allspace ialah sekitar 2788mm, iaitu jauh lebih panjang berbanding dengan Toyota Innova pada 2750mm. Kusyen barisan kedua boleh dianjakkan ke depan bagi memberi ruang kaki yang cukup bagi penumpang barisan ke tiga.

Malah jika anda ada penumpang dengan ketinggian 160cm, maka beliau boleh duduk di barisan ke 3 dengan selesa walaupun kaki akan menjadi tinggi sedikit disebabkan ruang kaki yang tidak cukup dalam

9. Kargo besar – Tiguan menyediakan ruang kargo sebesar 230 liter jika semua kusyen digunakan, dan tonneau cover disimpan dalam ruang belakang. Jika anda mahukan ruang yang lebih besar, simpan tonneau cover di rumah dan ruang tersebut boleh digunakan untuk menyimpan barang dengan lebih dalam.

Jika semua kusyen barisan ketiga dilipat, anda akan mendapat ruang sebesar 700 liter ata 465 liter jika hanya 1 kusyen barisan ketiga dilipat. Nak lagi besar, lipat kusyen barisan kedua dan ketiga bagi mendapatkan ruang sebesar 1775 liter.

Lebih menarik kusyen penumpang barisan pertama boleh dilipat rata bagi memuatkan barangan panjang dengan senang

10. Discovery Pro -sistem multimedia dengan skrin sebesar 9.2 inci lengkap dengan sambungan Bluetooth dan juga Android Auto atau Apple Car Play. Kedua dua sambungan ini boleh dibuat tanpa wayar dengan sokongan 2 peranti sekaligus.

Malah jika anda menggunakan ciri navigasi yang tersedia pada unit Multimedia Discovery Pro, anda boleh mengintegrasikan ciri tersebut pada paparan meter utama dan tukarkan paparan meter anda menjadi unit navigasi.

Sewaktu enjin mula dihidupkan, transmisi DSG akan sentiasa beroperasi dalam mode D atau Drive. Ketika ini, anda mungkin akan terasa sedikit kekurangan kuasa pada enjin EA211 ini jika dibandingkan dengan enjin EA888 2000cc TSI pada unit Tiguan R Line.

Namun jika anda menggunakan mode Sport, maka kegusaran anda itu hilang dan menjadi tidak berasas. Mode Sport memastikan enjin sentiasa beroperasi pada julat yang lebih bertenaga dan agresif. Malah ketika membrek juga, penukaran gear yang lebih rendah akan dibuat dengan cepat agar proses engine braking berlaku dengan pantas.

Sebut pasal brek, tiada apa yang perlu diragui berkenaan dengan ciri brek cakera pada semua roda melainkan anda risau kereta belakang tidak cukup jarak untuk membrek bila anda menekan brek dalam keadaan kecemasan.

Olengan badan ketika mengambil selekoh adalah terkawal, tapi jangalah samakan Tiguan dengan Golf GTi yang lebih laju dan tangkas. Untuk sebuah SUV yang membawa keluarga, prestasi talaan suspensi McPherson pada roda depan dan Multilink pada tayar belakang adalah sangat dipuji. Penyerap hentak jenis pasif yang digunakan terasa jauh lebih selesa daripada penyerap hentak boleh laras di R Line.

Tak terlalu keras dan tak terlalu lembut dan sangat selesa di atas permukaan jalan tidak rata. malah bila digandingkan dengan stering yang pantas, sesekali anda rasa bersemangat untuk menekan pedal minyak dengan rakus di selekoh S sambil menukar gear dengan menggunakan sistem paddleshift.

Malah jurutera Volkswagen sangat bijak dalam menghasilkan pakejing platform MQB. Walaupun menggunakan Multilink pada roda belakang, Tiguan masih boleh membawa tayar gantian kecemasan yang disimpan di bawah kusyen barisan ketiga dan ruang kargo yang besar.

Sebagai bonus, anda akan mendapat pengecas telefon tanpa wayar, 3 poin USB untuk mengecas telefon, penyaman udara 3 zone, soket 12 volt untuk barisan ke 3, lampu suluh LED terbina dalam (ya memang ada) dan pintu ruang kargo yang boleh dibuka secara automatik

Semuanya pada harga RM 173,990 sahaja dan kami tertanya-tanya, ada ke untung bila jual kereta dengan banyak gift ni?

Google ads
Back to top button