Artikel Pilihan

ENJIN 1.4 TSI EA211, NAMPAK KECIL TAPI HASILKAN 148HP & 250NM TORK

enjin 1400cc 4 silinder dengan kod EA211 merupakan enjin petrol yang digunakan bagi Volkswagen Golf R-Line dan juga model SUV iaitu Tiguan Allspace Life dan juga Tiguan Allspace Elegence. Bagi ketiga-tiga model di atas, enjin ini menjana sehingga 148 kuasa kuda dan tork sehingga 250Nm seawal 1500 RPM.

Enjin EA211 adalah enjin baru yang direka bagi kegunaan platform MQB dan tiada kaitan langsng dengan enjin lama EA111. Sekali imbas ia kelihatan enjin yang sama disebabkan enjin ini menghasilkan kuasa yang hampir sama, sesaran yang sama tapi EA211 direka berdasarkan pengalaman Volkswagen dalam menggunakan enjin EA111.

Lejang enjin ini kekal sama iaitu 80mm namun saiz diameter telah dikecilkan sebanyak 2mm menjadi 74.5mm. Blok dan kepala silinder enjin ini dihasilkan daripada aloi aluminium dengan bahagian dalam silinder dilapisi dengan lapisan keluli bagi ketahanan. Ini menjadikan enjin EA211 lebih ringan sebanyak 24.5kg berbanding enjin EA111.

Enjin ini juga dipasang dengan sedikit senget ke belakang sebanyak 12 darjah dengan manifold ekzos dipasang di bahagian belakang berhampiran dengan firewall enjin. Ini merupakan satu ciri yang sama bagi semua enjin yang dipasang atas platform MQB

Sistem pemasaan 16 injap pula diuruskan oleh sistem Double Over Head Cam dan dipacu dengan tali sawat pemasaan. Ekzos manifold pula disejukkan dengan menggunakan sistem sejukan cecair yang terbina dalam kepala silinder.

Bagi varian dengan 122 kuasa kuda, ia hanya menggunakan sistem pemasaan injap VVT pada bahagian injap kemasukan sahaja. Bagi varian berkuasa tinggi seperti 140 kuasa ke atas menggunakan sistem pemasaan injap pada bahagian injap kemasukan dan injap ekzos.

Tapet hidraulic dengan roller finger cam follower digunakan bagi mengurangkan geseran dalaman enjin dan memastikan kelegaan injap berada pada tahap optimum. Enjin ini menggunakan sistem turbo dengan sejukan cecair yang diintegrasikan dengan manifold.

Enjin EA211 direka dengan 2 laluan penyejukan untuk memastikan enjin ini cepat panas pada waktu pagi, dan boleh menurunkan suhu turbo ketika operasi maksimum. Aliran cecair penyejuk bersuhu rendah akan mengalir melalui intercooler dan unit turbo. Kaedah ini bukan sahaja menjadikan enjin cepat panas, tapi memanjangkan jangka hayat komponen turbo

Sama seperti enjin EA111, enjin 1.4 generasi baru ini menggunakan sistem suntikan bahan api terus dengan tekanan setinggi 200 bar. Setiap unit suntikan akan diberikan 5 lubang yang akan menghantar petrol secara tepat. Malah bagi varian 140hp ke atas dengan sistem boleh menutup 2 silinder sewaktu operasi bagi menjimatkan bahan api

Terdapat 2 tetapan nisbah mampatan yang digunakan, samaada 10.5:1 bagi varian yang kurang berkuasa atau 10:1 bagi varian yang lebih berkuasa dengan tekanan turbo yang lebih tinggi. Enjin ini perlu diservis setiap 15,000km dengan menggunakan minyak pelincir 5W-30/5W-40 sebanyak 3.8 liter untuk setiap kali servis.

Antara kenderaan dalam kumpulan Volkswagen yang menggunakan enjin EA211 termasuklah Golf, Jetta, Passat 1.4, Skoda Octavia, Audi A3, Audi Q3, dan juga Volkswagen Tiguan. Jika dibandingkan dengan enjin lama EA111, enjin ini telah menggantikan timing chain dengan timing belt bagi menyelesaikan isu timing chain memanjang dan menggangu pemasaan enjin.

Enjin EA211 juga memilki turbo yang lebih tahan lasak disebabkan penggunaan sistem turbo yang disejukkan berbanding versi lama. Namun dengan rekaan yang lebih kompleks dan lebih banyak elektronik menjadikannya lebih susah untuk dibaiki

Antara varian enjin EA211 ialah:

1. 1.4 CMBA/CVPA – versi 122 kuasa kuda, nisbah mampatan 10.5:1 dengan tekanan boost 0.8 bar

2. 1.4 CZCA/CPVB – versi 125 kuasa kuda, nisbah mampatan 10.5:1 tapi dengan kategori Euro6

3. 1.4 CHPA – 140 kuasa kuda & 250Nm tork, nisbah mampatan 10:1 dengan boost 1.2 bar

4. 1.4 CPTA – versi enjin CHPA dengan teknologi Active Cylinder Technology

5. 1.4 CZDA -148 kuasa kuda & 250Nm tork

6. 1.4 CZEA – enjin 148 kuasa kuda dengan Active Cylinder Technology

Google ads
Back to top button