Buletin

1,000 KENDERAAN JENAMA MILIK VOLKSWAGEN DISITA, TERPALIT ISU LANGGAR HAK ASASI MANUSIA

Hampir 1,000 kenderaan dari pelbagai jenama milik Kumpulan Volkswagen telah disita oleh Kastam AS, sekaligus merencatkan ketibaan mereka kepada pengedar dan pelanggan.

Tindakan ini diambil selepas kenderaan-kenderaan tersebut didapati menggunakan komponen elektronik dari barat China, yang melanggar undang-undang AS – melarang pengimportan bahagian, didakwa dihasilkan dengan ‘kerja paksa’ di bahagian tertentu di China.

Menurut laporan Financial Times, penghantaran kenderaan termasuk Bentley, Audi, dan Porsche telah dihentikan pada pertengahan Januari 2024.

Walaupun tiada jangka masa tepat mengenai bila kenderaan-kenderaan tersebut akan dikeluarkan, Volkswagen Group berharap dapat menyelesaikan isu ini menjelang Mac 2024 apabila alat ganti bersesuaian atau mematuhi undang-undang AS telah tersedia.

Volkswagen telah membangunkan kereta di China sejak 1985 melalui usaha sama dengan SAIC (Shanghai Automotive Industry Corporation).

Usaha sama ini mempunyai 33 kilang di seluruh negara, termasuk satu di ibu kota Xinjiang, Urumqi, di mana kenderaan yang dipasang sepenuhnya diperiksa sebelum dihantar kepada pengedar serta pelanggan.

Wilayah Xinjiang di barat laut China telah menjadi tumpuan penelitian baru-baru ini atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia.

Pada Disember 2023, Volkswagen mengeluarkan kenyataan bahawa audit bebas telah membersihkan kilang Xinjiang mereka dari dakwaan buruh paksa, dan syarikat itu berhasrat untuk terus beroperasi di kawasan tersebut.

Menurut Volkswagen, mereka sedang berbincang dengan SAIC mengenai hala tuju masa depan perniagaan di Xinjiang, dengan pelbagai senario sedang diperiksa secara intensif.

Pembuat kereta Jerman itu menegaskan mereka memandang serius dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dan mungkin menamatkan sebarang hubungan pembekal jika pelanggaran serius terbongkar.

Ini menunjukkan bahawa Volkswagen berusaha untuk memastikan integriti dan pematuhan dalam rantai bekalan mereka, sambil memberi penekanan kepada hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

Google ads
Back to top button