Buletin

1,080 MOTOSIKAL DICURI SEJAK 6 TAHUN LALU. HASIL CURI CECAH HAMPIR RM600,000

Dua pencuri muda berjaya ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam jenayah mencuri kenderaan di beberapa kawasan di Indonesia.

Menurut portal Tribun News, suspek dipercayai sudah menjalankan jenayah mencuri motosikal sejak enam tahun lalu membabitkan kira-kira 1,080 buah motosikal di beberapa kawasan di Kabupaten Tanggerang.

Suspek dikenali dengan nama singkatan RA berumur 25 tahun dan RD (30 tahun) ditahan pasukan Polis Unit Siasatan Jenayah dari bandar Tangerang di Banten, Jakarta, Indonesia.

Ketua Komisioner Polis Kabupaten Tangerang, Ade Ary Syam Indradi berkata, mereka dianggap sebagai penjenayah berprofil tinggi dan mencuri purata 15 unit motosikal setiap bulan.

“Suspek dipercayai bergiat aktif sejak enam tahun lalu dan kira-kira 1,080 unit motosikal sudah dicuri.

“Hasil jenayah ini dijual pada harga antara 2-3 juta rupiah (RM567 hingga RM850). Jadi, jumlah untung diperoleh kira-kira 2 bilion rupiah (RM566,880),” katanya.

Beliau menambah, suspek RD pernah ditahan atas jenayah sama sebelum dibebaskan tujuh tahun lalu.

Selepas bebas, RD kembali semula melakukan jenayah itu. Dengan RA, kedua-dua mereka beroperasi di kawasan Tangerang Raya, Jakarta  hingga ke Serang, Banten.

Mereka hanya perlukan masa selama tiga saat untuk melarikan sebuah motosikal selepas memecahkan kunci penghidup. – agensi

Google ads
Back to top button