Artikel PilihanBuletin

BMW X5 PROTECTION VR6 – INILAH KENDERAAN YANG SANGGUP BERKORBAN UNTUK PEMILIKNYA

Jika anda seorang yang berpangkat, cukup penting, sangat kaya dan mempunyai ramai musuh (kenapa agaknya ya?). Anda tentunya memerlukan sebuah kenderaan yang mampu menyelamatkan nyawa anda dan ahli keluarga anda. Kereta perisai atau kereta kebal mungkin pilihan yang baik kalau anda mampu tapi percayalah ia tidak akan mampu memberikan keselesaan yang boleh anda nikmati hatta dari sebuah Viva pekak sekalipun.

BMW mungkin ada penyelesaiannya dengan SUV keluaran mereka yang dinamakan BMW X5 Protection VR6 (bukan VR46 ye wahai top fan Uncle Rossi). Ia khusus untuk mereka yang mahukan kenderaan berperisai yang tidak menarik perhatian. Letih wei nak hantar bini pergi pasar naik kereta perisai. X5 Protection VR6 ini disasarkan untuk pembeli dari Amerika selatan, Afrika dan juga Russia.  

SUV ini direka dengan mengambil kira segala keperluan bagi menepati piawai VR6. Ini bermakna ia mampu menahan tembakan dari senjata seperti AK47 sehinggalah kepada letupan TNT seberat 15 kg dari jarak 4 meter. Sebagai tambahan, X5 istimewa ini juga mempunyai lantai yang dilapisi plat kalis peluru yang mampu menahan serangan bom tangan dan 200 gram C4. Setakat budak-budak baling mercun bola tu memang macam kena gigit nyamuk je.

Bagi memastikan kenderaan ini mampu menahan serangan tembakan dan bahan letupan, keluli regangan tinggi digunakan dengan menyeluruh pada bahagian pintu, kerangka sisi, bumbung dan bahagian hadapan casis. Terdapat juga perlindungan khas di bahagian bawah dan kaca cermin multi-lapisan setebal 33 milimeter. Tidak cukup dengan itu ia dilapisi pula dengan lapisan polikarbonat pada bahagian luar untuk perlindungan dari serpihan peluru ataupun bahan letupan.

Berat keseluruhan X5 ini tidak didedahkan oleh BMW tetapi mereka mendakwa ia adalah sepantas dan selincah BMW X5 biasa. Ia dibekalkan dengan enjin 4.4L V8 turbo berkembar yang mampu menjana 530 hp kuasa dan 750 Nm tork maksima. Malah ia juga mampu membuat pecutan 0-100 kmj hanya dalam masa 5.9 saat sebelum kelajuan maksimanya dihadkan pada 210 kmj.

Selain mempunyai lambakan aksesori pilihan yang sama seperti X5 biasa, X5 Protection VR6 ini turut dilengkapkan dengan intercom, sistem amaran serangan, sistem climate control automatik 4-zon. Dengan kata lain ia bukan hanya menjamin keselamatan anda tetapi yang lebih anda berada dalam kenderaan yang serba selesa dan mewah. Tapi jangan pula lepas ni korang asyik makan tidur makan tidur sebab rasa keselamatan dan terjamin.

Google ads
Back to top button