Buletin

LORI GARDENIA HILANG DI KL DITEMUI DI KIJAL. TIADA ROTI YANG HILANG. TETAPI SEMUA ROTI TERPAKSA DILUPUSKAN

Sebuah lori Gardena yang membawa muatan roti dilaporkan hilang di Kuala Lumpur telah ditemui di tepi sebatang jalan berhampiran Masjid Beris Meraga, Kijal, dekat Chukai, Terengganu malam semalam.

Lori Hicom Perkasa tiga tan itu ditemui ditinggalkan kira-kira jam 8 malam, sebelum orang ramai memaklumkan kepada pekerja syarikat roti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan berhubung penemuan lori terbabit. Lori dengan nombor plat BKK 3140 terbabit dilaporkan hilang di Jalan Petaling, Kuala Lumpur kira-kira 7 pagi pada hari sama.

Lori berkenaan bertanggungjawab menghantar roti ke 15 lokasi sebelum dicuri. Berita kecurian itu tular apabila pemandunya meminta orang ramai untuk melihat trak tersebut. Pemandu lori terbabit pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan. 

Jelas sekali tindakan melarikan lori itu bukanlah untuk mencuri roti. Ini kerana tiada satupun roti yang ada di dalam trak itu hilang.

Gardenia Bakeries KL (GBKL) dalam satu kenyataan memberitahu pemandu lori berada dalam keadaan selamat. Manakala lori itu kini berada dalam simpanan pihak polis.

Mengikuti prosedur dalaman, trak itu akan dibersihkan dan disanitasi, manakala semua roti di dalam trak akan dilupuskan. 

Kes terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan. 

Tags
Google ads
Back to top button