Pandu Uji

AURA MAZDA6

Kalau dilihat dari segi kronologinya, sedan eksekutif buatan Mazda, Mazda6 serba baharu mula diproduksi pada tahun 2002 yang menyaksikan falsafah jenama baharu Mazda, Zoom-Zoom diperkenalkan.

Model itu kemudian mendapat sambutan hangat dan kejayaan Mazda6 serba baharu generasi pertama diteruskan dengan generasi kedua yang menemui pengguna pada tahun 2008.  Pada ketika itu, jualan kumulatif Mazda6 di seluruh dunia sudah pun mencecah dua juta unit.

Kini, jentera itu telah memasuki generasi ketiga. Selepas memberi impak besar di pasaran luar negara, ia kini ditawarkan oleh oleh pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Motor Sdn. Bhd. (Bermaz) sejak beberapa bulan lalu.

mekanika - mazda6 (9)

Dengan penampilan luaran dan teknologi tercanggih,  Mazda6 pastinya sudah bersedia untuk menggempur model-model sekelasnya seperti Honda Accord, Toyota Camry, Nissan Teana, Hyundai Sonata dan Kia Optima K5.  

Demi memberi variasi kepada pelanggan, Bermaz menawarkan Mazda6 dalam tiga varian iaitu SKYACTIV-G 2.0 liter, SKYACTIV-G 2.5 liter dan SKYACTIV-G 2.5 liter Hatch Touring.

Ketiga-tiga varian tersebut dibezakan melalui sesaran enjin, ciri dan penampilan luaran. Sebagai contoh, model 2.5 liter menggunakan rim bersaiz 19 inci. Sementara varian 2.0 pula hadir dengan saiz rim lebih kecil, 17 inci.

Sama seperti model-model baharu Mazda yang lain, Mazda6 dibina berdasarkan kepada gayaan KODO – Soul of Motion Design. Ia banyak dipengaruhi oleh kereta konsep Mazda TAKERI dan Mazda SHINARI.

mekanika - mazda6 (13)

Justeru, Mazda6 bukan hanya mengagumkan dari segi visual, malah rekaannya fokus kepada ciri aerodinamik, penjimatan bahan api dan kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.

Inilah model utama untuk produk generasi baharu Mazda. Maka, tidak hairanlah jika pasukan jurutera dan pereka bentuk Mazda menggunakan sepenuhnya kepakaran teknikal dan keterampilan yang mereka ada sewaktu membangunkan Mazda6 dalam semua aspek.

Ini merangkumi aspek prestasi, dinamik pemanduan, reka bentuk, mesra alam sekitar dan keselamatan yang sememangnya sudah menjadi DNA kenderaan Mazda.  Penampilan Mazda6 memang cukup sporty. Ia seolah-olah lari daripada rekaan yang biasa diterapkan pada model sedan segmen D.

Semua itu berpaksikan kepada teknologi SKYACTIV. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Mazda6 dibangunkan untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi tersebut.

mekanika - mazda6 (8)

Ia menjadi jentera yang lebih dinamik berikutan titik graviti rendah, ringan dan olengan tubuh  minimum. Mazda6 digerakkan oleh enjin berkuasa dan menjimatkan iaitu SKYACTIV G 2.0 liter dan SKYACTIV G 2.5 liter yang dipadankan dengan transmisi SKYACTIV-DRIVE. Pedal pendikitnya turut disertakan dengan Kickdown Switch bagi meningkatkan lagi keseronokan pemandu mengawal jentera tersebut.

Mengikuti rapat trend penghasilan kenderaan kontemporari yang memberi penekanan terhadap penjimatan bahan api, Mazda6 (varian 2.5 liter) menjadi model pertama dilengkapi teknologi brek janaan semula tenaga atau i-ELOOP.

Apa i-ELOOP sebenarnya? Dalam kenderaan biasa, kira-kira 10 peratus output enjin digunakan untuk menggerakkan alternator dan menjana tenaga elektrik yang kemudiannya disimpan di dalam bateri.

mekanika - mazda6 (15)

Kaedah itu nyata tidak efisien. Jadi, jurutera Mazda membangunkan sistem i-ELOOP yang bertanggungjawab ‘memerangkap’ tenaga yang hilang sewaktu nyahpecutan. Tenaga itu kemudian disimpan dalam bentuk kuasa elektrik di dalam Electric Double Layer Capasitor (EDLC) berkapasiti tinggi.

Tenaga elektrik di dalam EDLC yang boleh dicaj penuh dalam tempoh cuma tujuh hingga sepuluh saat itu digunakan untuk menjana komponen elektrikal pada kenderaan.

Kombinasi i-ELOOP dengan sistem melahu i-Stop serta teknologi SKYACTIV yang terdiri daripada rangkaian, kuasa, casis dan kerangka membolehkan penggunaan bahan api sedan itu dijimatkan dalam jumlah yang signifikan.

SONY DSC

Bagi model berspesifikasi penuh iaitu varian SKYACTIV-G 2.5 liter dan SKYACTIV-G 2.5 liter Hatch Touring, kedua-dua jentera itu juga sarat dengan peralatan elektronik yang bernaung di bawah label i-ACTIVSENSE.

i-ACTIVSENSE terdiri daripada pelbagai sistem keselamatan yang biasanya ada pada model mewah jenama Eropah. Misalnya, Smart City Brake Support (SCBS) yang memantau jarak kenderaan di hadapan ketika dalam kesesakan lalu lintas.

Menggunakan teknologi infra merah, SCBS yang berfungsi pada kelajuan di antara 4 hingga 30km/j akan memberhentikan sepenuhnya kenderaan jika mengesan ia mungkin melanggar objek di hadapan.

Smart Brake Support (SBS) pula menggunakan radar miliwave untuk mengesan dan mengukur jarak kenderaan di hadapan. Sekiranya Mazda6 didapati berada terlalu rapat, SBS akan memberi amaran kepada pemandu. Apabila tiada tindakan diambil, SBS akan memperlahankan kenderaan. Ia berfungsi pada kelajuan di antara 15 hingga 145 kilometer sejam (km/j).

Ciri-ciri lain yang ada pada i-ACTIVSENSE termasuklah Rear Vehicle Monitoring yang memantau titik buta kenderaan ketika hendak menukar laluan, Lane Departure Warning, Adaptive Front Lighting dan High Beam Control yang akan merendahkan lampu utama secara automatik apabila mengesan lampu dari arah bertentangan.

mekanika - mazda6 (19)

Menyentuh mengenai ciri dan aksesori pula, perbezaan di antara varian 2.0 liter dan 2.5 liter agak ketara. Versi 2.5 liter dilengkapi sistem navigasi pada skrin sentuh TFT, bumbung suria serta sistem bunyi BOSE dengan 11 pembesar suara (enam unit pembesar suara untuk model 2.0 liter).

Beralih ke ruang dalaman, sedan itu tampil mewah dengan kemasan berwarna hitam. Kokpitnya juga dibina agar lebih fokus kepada pemandu. Bagi mengekalkan aspek praktikaliti, tempat duduk belakangnya boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40.

Mazda6 didatangkan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Sebab itulah apabila ditanya mengenai sasaran jualan Mazda6, Pengarah Urusan Bermaz Motor , Datuk Ben Yeoh menyatakan pihaknya ingin menjual sebanyak mungkin sedan tersebut. Namun ia tetap bergantung terhadap permit import (AP) yang mampu diperolehi oleh Bermaz Motor.

Hasil kerja keras Bermaz Motor mencanang kehadiran Mazda6 ke pasaran tempatan nyata membuahkan hasil apabila lebih 500 unit sedan itu sudah ditempah. Jumlah itu dijangka terus meningkat, memandangkan orang ramai kini boleh memandu uji Mazda6 di mana-mana bilik pameran Mazda di seluruh negara.

Mazda6 hadir dalam lima warna menarik iaitu putih, kelabu, merah, perak dan biru. Harga yang ditawarkan pula bermula RM160,000 hingga RM192,000 seunit.

[hr]

Spesifikasi Mazda6 2.5L

Enjin: SKYACTIV-G 2.5 liter

Kuasa maksimum: 185hp @ 5,700rpm

Tork maksimum: 250Nm @3,250rpm

Suspensi hadapan: Topang MacPherson

Suspensi belakang: Multi-Link

Sistem keselamatan: ABS dengan EBD, BA, DSCdan TCS, Hill Launch Assist, enam beg udara, i-ACTIVSENSE,
[hr]

Galeri

mekanika - mazda6 (1)SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCmekanika - mazda6 (10)mekanika - mazda6 (11)mekanika - mazda6 (14)mekanika - mazda6 (17)mekanika - mazda6 (18)mekanika - mazda6 (20)

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button