Buletin

BMW GROUP MALAYSIA PERKENAL APLIKASI BMW DAN MINI TERBAHARU

BMW Group Malaysia memperkenalkan My BMW App dan MINI App terbaharu menggantikan aplikasi BMW Connected serta MINI Connected menjelang Julai tahun ini.

Aplikasi My BMW App dan MINI App ini hadir dengan penampilan baharu serba intuitif menawarkan pengalaman kepenggunaan yang ringkas serta perkhidmatan mobiliti elektro lebih tinggi di Malaysia.

Ia didatangkan dengan pelbagai fungsi komprehensif untuk menjadikan interaksi antara pemandu dan kenderaan lebih lancar malah disediakan di lebih daripada 50 pasaran serata dunia.

Kedua-dua aplikasi menawarkan akses segera dan keupayaan untuk mengurus status kenderaan, serta dapat berhubung terus dengan pusat servis BMW atau MINI pilihan masing-masing.

Selain itu, ia juga memudahkan para pengguna untuk mengawal fungsi kenderaan BMW atau MINI dari jarak jauh, termasuk pelbagai perkhidmatan navigasi dan e-mobiliti yang komprehensif.

Didatangkan struktur tab tiga serangkai menampilkan tab Vehicle, Map dan Home.

Tab pertama memberi akses ke atas perkhidmatan kenderaan secara jarak jauh meliputi Active Charging, Vehicle Finder, Remote Lock dan Remote Unlock dengan Climate Charge serta Climate Timer.

Fungsi eksklusif dalam My BMW App turut merangkumi Remote Engine Start dan Flashlights serta Remote Software Upgrades untuk memastikan perisian kenderaan pengguna sentiasa dikemaskini.

Pengguna dapat menguruskan keperluan servis dan penyelenggaraan kenderaan mereka melalui aplikasi tersebut termasuk penggera servis, panggilan semula dan penjadualan janji temu dalam talian.

Aplikasi berkenaan turut dilengkapi BMW Roadside Assistance dan MINI Roadside Assistance malah Driver’s Guide dalam membantu memudahkan urusan pengguna.

Fungsi e-mobiliti yang disediakan di bawah tab Vehicle dalam kedua-dua aplikasi tersebut menyediakan gambaran keseluruhan yang ditambah baik ke atas Fuel/Battery Level, Range Status dan Charging Status, serta Charging History.

Dengan menggunakan Tab Map, pengguna dimaklumkan mengenai lokasi dan destinasi yang ingin dituju.

Ia turut hadir dengan fungsi seperti Map Search dan Point of Interests (POIs) dipadankan ciri e-mobiliti baharu meliputi Nearby Parking dan Charging Spots, Charging Station Details serta POIs yang dapat dicapai.

Bagi pemilik kenderaan elektrik, Range Circle on Map membantu mereka mengenal pasti destinasi yang boleh dicapai dalam jarak capaian semasa, berdasarkan lokasi semasa.

My BMW App pula didatangkan secara eksklusif Connected Drive Store yang boleh diakses dalam aplikasi tersebut dengan fungsi Discover BMW.

Pengguna menggunakan model-model BMW terpilih boleh memadankan BMW Digital Key mereka dengan My BMW App.

Untuk menggunakan fungsi BMW Digital Key melalui iPhone, pengguna perlu mengaktifkan Connected Drive Services, dan kenderaan BMW tersebut mesti dihubungkan dengan BMW ID.

Kedua-dua aplikasi baharu tersebut kini boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai My BMW App dan MINI App, sila layari www.bmw.com.my/en/topics/bmw-owners/bmw-apps/my-bmw-app.html dan www.mini.my/en_MY/home/range/mini-connected/app.html.

Google ads
Back to top button