Artikel Pilihan

5 KELEBIHAN KENDERAAN PLUG-IN HYBRID BERBANDING DENGAN KERETA ELEKTRIK

Ketika sambutan perayaan Krismas tahun 2021, penulis terbaca beberapa berita berkenaan dengan rungutan orang ramai dan juga pengguna kenderaan elektrik di Amerika yang terpaksa menunggu lama dan terkandas dalam perjalanan akibat EV mereka kehabisan tenaga.

Apabila sampai di pusat pengecasan pantas DC, mereka terpaksa beratur panjang akibat peningkatan jumlah kenderaan yang mendadak akibat sambutan perayaan. Semua orang ingin berjalan ketika beraya.

Ya situasi ini tidak jauh berbeza dengan sambutan Aidilfitri baru-baru ini yang menyaksikan beberapa buah stesen minyak di Pantai Timur kehabisan bekalan. Ia menyebabkan ramai pengguna jalan raya terkandas dalam perjalanan sementara menunggu lori tangki sampai.

Ia menyebabkan kita terfikir, jika isu bekalan petrol boleh terjejas ketika musim perayaan sehingga mengganggu pemilik kereta berkuasa petrol/diesel, apatah lagi jika menggunakan kereta berkuasa elektrik yang masih lagi dalam fasa penerimaan di Malaysia.

Keadaan ini menyebabkan kereta hybrid yang datang dengan ciri pengecasan di rumah kelihatan lebih ideal bagi negara-negara membangun. Kami senaraikan di sini kelebihan menggunakan kereta plug-in hibrid berbanding dengan kereta elektrik

1. Fasa peralihan – bagi negara membangun seperti Malaysia, beralih kepada kenderaan elektrik sepenuhnya ada cabaran tersendiri jika anda memandu ke kawasan yang tiada infrastruktur pengecasan.

Jika memandu PHEV plug in hybrid, anda ada pilihan untuk mengecas di rumah bagi pemanduan jarak dekat dengan menggunakan plug 3 pin dan juga enjin petrol bagi perjalanan jarak jauh. Jika anda sudah suka dengan PHEV, mungkin kenderaan anda yang seterusnya ialah EV sepenuhnya

2. Tak perlu pengecas istimewa – kenderaan PHEV boleh dicaj dengan 2 cara iaitu melalui brek regeneratif dan juga melalui sambungan plug 3 pin biasa dengan soket 240V di rumah. Anda tak perlu pasang apa-apa peralatan istimewa untuk mengecaj PHEV

3. Boleh dipandu dengan lebih jauh – PHEV diberikan 2 punca bekalan tenaga samaada elektrik yang berupaya dipandu sehingga 100km untuk satu pengecasan penuh dan juga enjin pembakaran dalam. Jadi PHEV boleh dipandu dengan lebih jauh daripada EV tanpa perlu risau dengan jarak perjalanan

4. Rebet cukai – bergantung pada model dan juga lokasi kenderaan PHEV dipasang, kerajaan ada memberikan rebet cukai kepada PHEV bagi menggalakkan pembelian PHEV sebagai salah usaha menuju ke arah karbon sifar

5. Tiada isu dengan range anxiety – disebabkan PHEV diberikan 2 punca kuasa samaada elektrik atau enjin pembakaran dalam, maka anda tak perlu risau jika bateri sudah habis. PHEV anda akan bertukar kepada kereta biasa secara automatik dan bateri akan dicaj semula dengan kaedah brek regeneratif

Ketika mode EV sepenuhnya digunakan, penggunaan petrol adalah sangat minima. Malah ada kenalan penulis yang sudah 2 bulan tidak mengisi petrol PHEV beliau dan hanya menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Pergi ke mana-mana, bawa sahaja kabel dan caj dengan menggunakan infrastruktur pengecasan

Sebagai contoh Volvo telah menaiktaraf bateri mereka daripada kapasiti 11.6 kWH kepada 18.8 kWH. Ini membenarkan kenderaan Volvo dipandu sehingga 90km dalam mode elektrik sepenuhnya berbanding 50km bagi bateri yang lama.

Jadi kepada pembaca Mekanika yang ada pertimbangan yang serius dalam usaha menuju ke arah kenderaan yang lebih mesra alam, anda boleh pertimbangkan PHEV sebagai langkah pertama anda ke arah kenderaan mesra alam.

Google ads
Back to top button