
5 MINIT BERSAMA DR. LI CHUNRONG – MALAYSIA NEGARA YANG INDAH
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong adalah individu yang kurang bercakap tentang rencana syarikat yang diterajuinya.
Sehingga kini tidak banyak kenyataan beliau di media atau temuramah disiarkan. Gaya kepimpinan Dr. Li ialah bekerja di sebalik tabir dan biarkan produk yang berbicara.
Menduduki kerusi panas di PROTON bukan kerja mudah, ia adalah satu cabaran besar bukan setakat membawa imej perniagaan tetapi juga nama negara.
Selepas pengenalan bilik pameran baharu di serata negara, satu model utama, dua model wajah baharu dan satu model kemaskini, Dr. Li kelihatan lebih terbuka untuk berkongsi perjalanan dan pengalaman beliau selama 18 bulan mengemudi PROTON dan tinggal di negara ini.
Berikut kami bawakan temuramah beliau untuk ruangan Geely Stories yang disiarkan oleh laman web media Zhejiang Geely Holding Group.
GS: Bagaimana Dr. Li menyesuaikan diri dengan kehidupan di Malaysia?
DL: Malaysia adalah negara indah yang saya harapkan mempunyai lebih masa untuk menerokainya. Saya sekarang bekerja 12 jam sehari enam hari seminggu untuk mengubah PROTON secepat mungkin dan ia memakan banyak masa saya.
Sejak pelancaran X70, PROTON berjaya meraih banyak momentum dan pada April lalu dua model wajah baharu dilancarkan iaitu Iriz dan Persona 2019.
Kesemua ini hanya boleh dicapai melalui kerja keras dan dedikasi yang bermakna masa yang panjang di dalam pejabat berbanding di luar.
Selagi hasil usaha ini dapat dilihat saya tidak kisah menghabiskan banyak masa untuk PROTON. Namun saya berharap dapat meluangkan lebih masa untuk meneroka negara ini terutama sekali makanannya.
Malaysia adalah titik pertemuan kepada pelbagai budaya yang boleh dirasai melalui makanannya.
Pada permulaan, makanan negara ini begitu asing dan saya tidak berapa biasa terutama sekali penggunaan rempah dan cili. Namun selepas 18 bulan tinggal di sini saya tidak boleh hidup tanpa menu mingguan seperti nasi lemak dan char koay teow.
Makanan di sini menyelerakan dan ia adalah satu daripada rasa unik yang pernah saya alami.
GS: Apa pendapat Dr. Li tentang industri kereta Malaysia?
DL: Industri kereta Malaysia sangat menarik. Di sini ada dua jenama tempatan di samping jenama Jepun, Korea dan Eropah. Secara relatif pasarannya kecil tetapi persaingannya sengit.
Rakyat Malaysia sukakan kereta mereka sama ada dari segi estetik atau prestasi, keselamatan dan juga imej jenama.
Kerajaan juga menyokong penuh industri kereta tempatan sama ada jenama nasional atau pelbagai jenama asing yang mempunyai kilang di sini.
Terdapat banyak insentif bagi membantu membangunkan idustri kereta tempatan yang akhirnya dapat membantu dalam melonjakkan keupayaan kejuruteraan dan pengilangan serta kemahiran Malaysia.
GS: Bagaimana anda dapat berjaya di Malaysia?
DL: PROTON mempunyai satu kelebihan di mana ia adalah kereta nasional pertama Malaysia. Ramai orang pada satu masa dalam hidup mereka memiliki kereta PROTON dan mempunyai ingatan terhadap jenama ini.
Dengan dua rakan kerjasama kuat di sebalik jenama ini, kami sangat yakin berupaya mengembalikan PROTON ke zaman kegemilangannya dan mendapatkan kembali kedudukan pertama sebagai jenama kenderaan paling dicintai rakyat Malaysia.
Dengan pelbagai perancangan model yang bagus dan canggih, saya yakin masa depan PROTON di Malaysia dan juga pasaran eksport utama yang kami sasarkan dalam masa terdekat ini.
Selain itu saya selalu menggalakkan pasukan saya dan saya sendiri untuk sentiasa mendengar pasaran dan respon kepada keperluan pelanggan kami.
Melalui cara ini pelanggan akan menghargai produk kami dengan lebih lagi disebabkan ia menawarkan apa yang mereka mahukan seterusnya memberi gambaran bahawa PROTON adalah sebuah syarikat yang mendengar dan mengambil berat.
Melalui imej jenama yang positif saya yakin kejayaan berada dalam capaian kami.
GS: Dengan jadual yang padat, apakah cara terbaik Dr. Li untuk berehat?
DL: Saya sebenarnya susah untuk mencari masa untuk berehat. Walaupun tidak bekerja, saya sentiasa memikirkan tentang mesyuarat seterusnya atau penambah baikan yang saya mahu lakukan.
Satu-satunya masa yang saya tidak dapat berfikir tentang kerja ialah apabila dapat bermain badminton kerana ia memerlukan tumpuan penuh.
Saya gembira apabila rakyat Malaysia mempunyai minat pada tahap yang sama seperti rakyat China dan tidak susah untuk mencari rakan untuk main bersama atau menawarkan cabaran yang bagus untuk saya.
Kredit artikel asal: Zhejiang Geely Holding Group