Artikel Pilihan

6 CARA PALING MUDAH UNTUK MENJAHANAMKAN KERETA

Kalau biasa kami bagi tips tentang cara penjagaan kereta kini kita terbalikkan pula pengetahuan kita tentang cara-cara paling mudah untuk menjahanamkan kereta. pengalaman memiliki kereta memang sesuatu yang menarik. Ia mungkin menjadi impian terindah jika anda menjaga kereta anda dengan baik dan sebaliknya akan bertukar menjadi mimpi ngeri jika anda bertindak sebaliknya.

Di sini kami senaraikan beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk memastikan kereta anda rosak dan jahanam dalam jangka masa yang… agak cepat.

1. MENGABAIKAN LAMPU PERIKSA ENJIN (CHECK ENGINE)

Bagi kereta-kereta moden, ia akan dilengkapi dengan lampu penunjuk periksa enjin yang akan menyala jika ia mengesan sebarang kekurangan ataupun jika ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem enjin anda.

Ia tidak semestinya berpunca dari satu masalah sahaja, tetapi daripada puluhan malah ratusan masalah yang mungkin menjadi punca. Jangan percaya seratus peratus dengan pendapat dan saranan kawan-kawan anda (khususnya dalam kumpulan Whatsapp).

Ini kerana kereta anda memerlukan perisian dan alat diagnostik khusus untuk memeriksanya. Saranan dan cadangan kawan-kawan boleh dijadikan panduan, tetapi tidak semestinya betul. Jika anda terus memandu dengan lampu amaran ini menyala, paling tidak pun tahap ekonomi bahan api anda akan terjejas.

2. KEGAGALAN MENUKAR BENDALIR DAN PENAPIS

Terdapat pelbagai jenis bendalir yang diperlukan untuk operasi sesebuah kereta. ia juga memerlukan bendalir pelinciran khusus untuk membantu melancarkan operasi dan memelihara keseluruhan sistem.

Bendalir dan cecair ini perlu diperiksa pada setiap masa ataupun sekurang-kurangnya sebulan sekali. Begitu juga dengan sistem penapis untuk setiap bendalir dan cecair. Ia juga mesti diperiksa untuk memastikan kenderaan anda berjalan lancar dan sekaligus memanjangkan usia enjin.

3. MENGABAIKAN TAYAR KERETA ANDA

Tayar kereta mesti diperiksa sentiasa khususnya dari segi tekanan dan kedalaman bunga tayar. Tayar yang kurang angin akan menjadi cepat haus, selain memberikan kesan buruk kepada tahap keselamatan sesebuah kereta.

Ia juga akan menjadi haus sebelum tiba masanya, menjejaskan prestasi dan tahap ekonomi bahan api.

4. SENGAJA TIDAK MENGIKUT JADUAL PENYELENGGARAAN BERKALA

Disebabkan terdapat komponen kereta yang akan haus dan rosak akibat peredaran masa dan kadar kegunaan, ia harus selalu diselenggara secara berkala untuk membolehkannya beroperasi dengan baik dan cekap.

Pemeriksaan  rutin dan berkala akan memastikan kenderaan anda berfungsi dengan efisyen. Ia dapat mengelakkan kos yang tinggi untuk membaikinya jika rosak akibat kegagalan kita mematuhi jadual servis berkala.

5. MEMBIARKAN KERETA DALAM KEADAAN KOTOR

Membiarkan kereta terlalu lama dalam keadaan kotor akan menyebabkan kotoran dan debu berkumpul, sekaligus mengkakis bahagian badan kereta.

Tindak balas bahan-bahan kimia seperti asid dan alkali akan menjejaskan komponen kereta anda, seterusnya menyebabkan sesetengah bahagian menjadi berkarat.

6. MEMANDU KERETA SECARA MELULU

Baik dalam apa jua keadaan cuaca, permukaan jalan, kesesakan trafik ataupun memandu dengan beban yang berat, kita mestilah sentiasa memandu dengan bijak dan cermat. Memandu dengan cermat bukan hanya akan menjimatkan  petrol tetapi juga menyelamatkan nyawa dan poket anda.

Patuhi had laju yang ditetapkan dan jangan memandu dengan agresif khususnya dalam kesesakan jalan raya. Elakkan pecutan mendadak kerana ia akan menyebabkan kereta anda menggunakan petrol yang berlebihan. Pemandu yang bijak juga akan memastikan kereta mereka dilaras dengan sempurna.

Penjagaan kereta kadang-kala tidak menjadi keutamaan pemilik kerana kurangnya pengetahuan mereka tentang kepentingan tersebut. Ini kerana cara penjagaan akan berkait rapat dengan aspek prestasi, keselamatan dan nilai sesebuah kereta.

BACA: TIPS PENTING PENJAGAAN SISTEM BREK KERETA

Pemeriksaan rutin akan memastikan penjimatan wang di masa hadapan, melindungi pelaburan anda (pada nilai semasa kereta anda) dan mengelakkan sakit kepala (stress).

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button