BuletinModifikasi

6X6 JEEP WRANGLER HELLHOG – WHAT THE H##L!!!

Nampaknya kegilaan modifikasi 4×4 semakin menjadi-jadi di seluruh dunia. Bahkan kini ia semakin ganas dengan modifikasi 6×6 yang diasaskan daripada model-model pacuan empat roda seperti Mercedes G-Class, Jeep Wrangler dan Ford Raptor.

BACA – HENESSEY VELOCIRAPTOR 6X6

BACA – JEEP WRANGLER TOMAHAWK 6X6

Semuanya telah dinaik taraf menjadikannya model off-road yang unggul. Ini ada satu lagi model 6×6 yang lebih ekstrim yang dihasilkan oleh Wild Boar Offroad Los Angeles.

Kru-kru Wild Boar merupakan pakar Jeep dari Huntington Beach, Los Angeles. Mereka cukup berkemahiran dalam modifikasi enjin-enjin baru dan lama termasuklah enjin Hemi V8 generasi baru yang cukup bertenaga.

Hellhog merupakan masterpiece mereka terbaru. Sebuah 6×6 yang berfungsi sepenuhnya dan menggunakan enjin Hellcat V8 yang dimasukkan untuk pertama kalinya ke badan Jeep. Ia juga model yang diharapkan oleh mereka untuk membawa keuntungan lumayan untuk syarikat mereka.

hellhog-jeep-wrangerl-6x6-3

Jika anda berada di Amerika dan mempunyai lebihan wang sebanyak USD300,000, (RM1.3j) inilah salah satu 6×6 paling ekstrim yang boleh anda beli.

Mengikut sumber Wild Boar, terdapat beberapa versi yang boleh ditempah. Versi asas menggunakan enjin asal 3.6-liter Pentastar V6 berserta kotak gear asal. Namun ia akan ditambah dengan differential dan suspensi yang dinaiktaraf.

Pilihan enjin lain pula termasuklah Chevy LS V8, Hemi V8 generasi ketiga dan disel. Hellhog paling berkuasa menggunakan enjin Hemi 6.2-liter supercharger yang disumbat masuk ke ruangan enjin Wrangler. Itupun muat-muat saja maklumlah enjin ini gedabak besarnya.

Hellhog Wild Boar yang dipamerkan di SEMA telah dibangunkan dengan kerjasama Dakota Customs, sebuah lagi syarikat yang mempunyai pengetahuan luas dalam melengkapkan enjin Hemi kepada sebuah Jeep. Ia bukan suatu proses yang mudah kerana enjin Hemi generasi ketiga ini bukan sahaja besar tetapi mempunyai sistem pendawaian yang kompleks.

Kerja-kerja yang harus dilakukan bukan calang-calang orang boleh buat kerana selain daripada enjin dan kotak gear yang besar lagi berat, ia juga dilengkapkan dengan sistem ekzos custom Borla.

Pelarasan yang cermat harus dilakukan agar kenderaan ini mampu dipandu dengan selamat. Modifikasi secara sistematik Hellhog ini bermakna pelbagai sudut kenderaan harus diambil kira. Dakota contohnya, telah melengkapkan Hellhog ini dengan tangki bahan api kedua sesuai dengan saiz enjin yang telah dipertingkatkan.

Hellhog bernadikan enjin Hemi ini kini mampu menghasilkan sebanyak 754 HP kuasa maksima dan tork setinggi 915 Nm. ia dibantu oleh pelarasan boost dan sistem eksoz Borla yang dilakukan oleh Dakota Customs.

Wild Boar mendakwa Hellhog ini mampu mebuat pecutan dari 0-100 km/j hanya dalam masa 8.1 saat. Untuk sebuah 6 X 6 ia sememangnya sangat laju.

Kerja-kerja modifikasi tidak terhad setakat itu sahaja. Kotak gear automatik standard Hellcat telah dinaiktaraf dengan ubahsuaian Dakota Customs Stage 2. Ini bermakna ia mampu menahan bebanan tork sehingga 1000 Nm, cukup sesuai memandangkan Hellhog ini mempunyai pacuan enam roda.

hellhog-jeep-wrangerl-6x6-1

Kerangka Wrangler ini telah dipanjangkan sebanyak 915mm supaya ada ruang secukupnya untuk gandar ketiga dan differential. Satu lagi faedah pemanjangan ini ialah ruangan kargo yang lebih besar di bahagian belakang Jeep ini.

Walaupun differential dan gandar asal sudah mencukupi untuk enjin standard 3.6-liter V6, ia tidak akan mampu menahan bebanan enjin V8 berprestasi tinggi dengan output 750hp/900Nm. Jadi Wild Boar mneggantikan differential asal dengan produk heavy duty Mopar Dana 44 di hadapan dan belakang. Seterusnya gandarnya juga ditukar kepada jenis heavy duty agar mampu menahan beban yang lebih selepas modifikasi.

Suspensi asal digantikan dengan suspensi boleh laras custom King 2.0. Cukup sesuai kerana ketinggian Jeep ini juga telah dinaikkan sebanyak 2 inci.

Dengan penambahan supercharger 2.3-liter dari IHI beserta sepasang intercooler, bahagian enjin Hemi ini kini lebih tinggi daripada asal membuatkan mereka terpaksa merekabentuk kembali penutup bonet Hellhog ini. Mereka mengambil inspirasi daripada rekaan bonet Dodge Charger Hellcat yang menutup sebahagian lampu hadapan agar kelihatan lebih ‘jahat’.

Penampilan luar diperkemaskan dengan pelindung fender yang lebih lebar selain beberapa kit badan rekaan FinCo Fabrication yang dipasarkan oleh Exotic Custom Car & Design.

Ia turut dilengkapi dengan winch 9500lb Seal 2.5 daripada Come Up Winch di bahagian depan selain rak bumbung dan bar belakang daripada Under Pressure Fabrication. Keseluruhan luaran Helldog ini telah diwarnakan dengan warna matte-grey stoneguard olah Exotic Custom Cars & Design. Kini ia tidak akan bercalar walaupun selepas mengharungi laluan off-road.

Sebagai sebuah kenderaan off-road yang serius dan akan menakluk segala bentuk muka bumi, ia mempunyai sistem pam udara 2Way Air yang membolehkan pemandu menambah ataupun mengurangkan tekanan angin secara serentak untuk keenam-enam tayar bersaiz 35 inci itu.

Harga yang ditawarkan untuk Hellhog ini bukannya murah bahkan itu juga harga yang perlu dibayar untuk Brabus 6×6 tetapi Hellhog lebih eksklusif kerana dihasilkan secara terhad.

sumber

trucktrend.com

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button