Buletin

7 JENAMA ‘OTAI’ AUTOMOTIF YANG MASIH WUJUD HARI INI

Memiliki kenderaan merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian malah menjadi pengangkutan utama bagi majoriti masyarakat hari ini.

Tidak kira, sama ada motosikal, kereta, SUV, van ataupun lori. Ia memudahkan orang ramai bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

Mungkin ramai yang sudah mengetahui bahawa Mercedes-Benz melakar sejarah sebagai jenama pertama membangunkan kereta dijana kuasa petrol pada tahun 1886.

Begitupun, terdapat beberapa jenama automotif yang telah wujud sebelum pembangunan jentera berkenaan.

Sebagai rekod, jenama berkenaan bukanlah pengeluar kenderaan pada awal penubuhannya tetapi berkembang dalam dunia automotif mengikut peredaran masa.

Kita akan melihat tujuh jenama ‘otai’ automotif yang masih bertapak dalam industri sehingga hari ini:-

Peugeot

– Peugeot merupakan jenama paling ‘otai’, ditubuhkan pada tahun 1810 lagi dan bertindak sebagai syarikat kilang kopi oleh Armand Peugeot. Korang mesti tak percaya kan, jenama ni kilang kopi.

– Ia mula membangunkan motosikal pada tahun 1830 sebelum mengembangkan sayap dalam produksi kereta pada 1882.

– Kereta pertama keluaran Peugeot merupakan kerjasama dengan Leon Serpollet tetapi kurang berjaya.

– Pada tahun 1890, kedua syarikat ini mengeluarkan kereta secara besar-besaran menggunakan enjin Panhard-Daimler.

Tatra

– Jenama automotif pertama daripada negara Republik Czech diwujudkan pada 1851 merupakan Ignatz Schustala & Comp sebelum bertukar kepada Tatra.

– Jentera pertama dikeluarkan dikenali sebagai Prasident Automobile yang dibangunkan pada 1897.

– Selain kereta, ia turut mengeluarkan trak dan enjin kereta perisai untuk Jerman ketika Perang Dunia Kedua.

– Pada tahun 1999, syarikat terbabit menutup produksi kereta dan memberi tumpuan kepada pembangunan trak pacuan semua roda.

Opel Automobiles GmbH

– Siapa yang tidak mengenali jenama Opel, tapi tahukah syarikat ditubuhkan pada tahun 1862 pernah menjadi pengeluar mesin jahit.

– Syarikat dari Jerman ini mula menghasilkan basikal pada 1886 sebelum membangunkan kereta tiga tahun kemudian.

– Pada 1913, Opel menjadi pengeluar kereta terbesar di Jerman sebelum menakluk Eropah.

Mercedes-Benz

– Secara teknikal jenama dikenali ramai ini wujud pada 1926. Begitupun, ia merupakan gabungan dua syarikat Daimler (1890) dan Benz & Cie (1883).

– Benz & Cie dipelopori Carl Benz, Max Rose dan Friedrich Wilhelm. Tiga tahun selepas penubuhannya, mereka membangunkan Benz Patent Motorwagen didakwa merupakan kenderaan petrol pertama di dunia.

– Daimler pula diasaskan Gottlieb Daimler dan Wilhelm Maybach, syarikat berkenaan membangunkan enjin petrol.

Skoda Auto

– Pada awal penubuhannya, ia dikenali sebagai Laurin & Klement yang membangunkan basikal dan motosikal.

– Syarikat berkenaan hanya membangunkan kereta pada tahun 1905 sebelum dibeli oleh Skoda Works sekali gus menukar nama syarikat kepada Skoda Auto.

– Sejak tahun 2000, ia menjadi anak syarikat kumpulan Volkswagen.

Land Rover

– Syarikat automotif pertama England, Land Rover mula diasaskan pada tahun 1896 lagi tetapi dikenali sebagai Lancashire Steam Motor Company.

– Pada awalnya, syarikat ini menghasilkan mesin pemotong rumput wap sebelum mengeluarkan van berkuasa wap pula.

– Ia menukar nama kepada Land Rover pada 1978.

– Land Rover dianggap sebagai ikon Britain dan sehingga kini masih menjadi kenderaan kepada Keluarga Diraja.

Renault

– Ditubuhkan tiga beradik iaitu Fernand, Louis dan Marcel Renault di Perancis pada tahun 1899.

– Biarpun, Renault merupakan syarikat automotif tetapi ia mengembangkan perniagaan termasuk dalam pembinaan trak, bas dan kenderaan kargo komersial.

– Mungkin ramai tidak mengetahui, pada Perang Dunia Pertama, syarikat ini turut membangunkan enjin pesawat tentera, jentera pertanian dan industri.

– Sehingga kini, Renault merupakan antara pengeluar kenderaan terbesar di dunia. – agensi

Google ads
Back to top button