Buletin

PLUS KURANGKAN SEWA SELAMA 3 BULAN DI HENTIAN R&R HINGGA OKTOBER 2021

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memberi bantuan tambahan kepada rakan niaganya di kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuhraya itu yang terjejas berikutan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bantuan berbentuk pengurangan sewa bulanan selama tiga bulan terbabit diberikan kepada semua rakan niaga dan pengendali perniagaan sementara bermula Ogos hingga Oktober depan.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid berkata, bantuan berkenaan termasuk pengecualian sewa bulanan untuk semua rakan niaga di R&R Gelang Patah (Arah Utara dan Selatan), susulan penutupan sementara sempadan Malaysia-Singapura.

PLUS juga melanjutkan pengecualian sewa bulanan dua minggu kepada rakan niaga yang terjejas berikutan pengumuman kerajaan yang melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) di Selangor.

“PLUS konsisten membantu rakan niaga sejak pelaksanaan PKP Mac tahun lalu. Kami anjur pelbagai program latihan dalam talian dan meningkatkan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kebolehan rakan niaga mengadaptasi perniagaan mereka demi mendepani cabaran perniagaan disebabkan Covid-19.

“Pengenalan fungsi Order di Sini atau fungsi prapesanan menerusi aplikasi PLUS juga direka khusus sebagai pemudah cara bagi menggalakkan pembelian atas talian seta pesanan bawa pulang di semua R&R,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, PLUS meneliti cadangan pembayaran secara berkala serta pengecualian caj bayaran lewat untuk rakan niaganya. Bantuan sama juga diberikan kepada pengusaha tempatan di R&R di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Bantuan pengurangan sewa diberikan sejak 2020 susulan pelaksanaan PKP sebelum ini. PLUS sentiasa mencari jalan untuk membantu rakan niaga mereka melalui pendekatan terbaik, walaupun turut berdepan dengan cabaran pandemik. – Harian Metro

Google ads
Back to top button