Buletin

MITSUBISHI L200 eSPORTS CONCEPT – ADA XBOX & 2 SIMULATOR

Di dalam negara kita sekarang ini ada satu isu yang melibatkan sukan elektronik (eSports).

Kerajaan mahu membawa sukan ini jauh ke depan memandangkan ia adalah fenomena global dan sentiasa mendapat tempat di hati sesetengah belia.

eSports pula bukan suatu yang asing buat pengeluar kereta, Nissan mempunyai GT Academy yang merelisiasikan impian pemain untuk menjadi pelumba sebenar.

Toyota pula baru sahaja melancarkan program eSports untuk model terbarunya iaitu Toyota GR Supra GT Cup

Satu lagi berita di alam realiti ialah apabila Mitsubishi L200 eSports Concept memenangi pertandingan UK Truck King Battle.

Model tersebut dipamerkan di acara Mitsubishi Motors Badminton Horse Trials pada 3 April 2019.

Model L200 eSports Concept ini dibina berdasarkan entri kemenangan oleh Joanne Tulloch daripada Livery Dole Mitsubishi, Exeter.

Tema pikap eSports yang digunakan berjaya memperoleh penglibatan dalam talian tertinggi di dalam platform media sosial Mitsubishi Motors di UK sepanjang pertandingan berlangsung.

Model yang asalnya adalah gambaran grafik dihasilkan secara realiti oleh Mitsubishi Motors di UK dan Ralph Hosier Engineering yang bertanggung jawab membina model ini.

Ubahsuai yang dilakukan bukan mudah, casis asal telah dipanjangkan kepada 800 dan lebar ditambah kepada 80mm bagi memuatkan dua ruang untuk permain.

Setiap satu daripada dua simulator lengkap dengan kerusi lumba dan stereng Logitech G920 Driving Force Racing, kotak pedal dan tombol gear.

Konsol Xbox One pula disambungkan kepada skrin LED 24 inci bagi menayangkan permainan Forza Horizon 4.

Luaran pikap turut terlibat dengan ubahsuai terutama sekali pada bahagian belakang.

Pintu kargo dipasang dengan tangga lipat supaya mudah untuk masuk ke dalam ruang permainan manakala bumbung pula ditinggikan supaya lebih selesa.

Selain konsol permainan turut dilengkapi ialah mesin pembancuh kopi dan ruang kudapan supaya permainan dapat diteruskan tanpa gangguan.

Tidak cukup dengan dua skrin di dalam, satu skrin 22 inci dipasang pada pintu kargo belakang untuk tontonan orang ramai.

Daripada mana pula punca kuasa untuk menghidupkan semua kelengkapan ini?

Di atas bumbung pikap dipasangkan sel solar 150w yang mampu mengecas bateri 105Ah untuk tempoh permainan sehingga lapan jam.

Lagi kelengkapan luar pada pikap ini ialah roda aloi Speedline Mamba dengan warna metalik rose gold dan kombinasi tayar off-road besar.

Terdapat juga ubahsuai pada arka roda depan dan belakang serta lampu pada atas bumbung

Akhir sekali, logo kenderaan dan grafik badan berwarna rose gold dilekatkan pada badan pikap bagi menyempurnakan rupa keseluruhan.

Hebat dan gatal tangan serta kaki untuk mencubanya!

Google ads
Back to top button