Artikel Pilihan

ADAKAH INI BUTANG DRIFT? LEPAS TEKAN KERETA TERUS AUTO DRIFT?

Jawapan pendek pada jawapan di atas ialah tidak, tapi bagi masa pada kami untuk menerangkan fungsi butang ini dengan lebih lanjut. Bermula dari bulan Jun 2018, pihak kerajaan melalui agensi MIROS dan juga sistem penarafan ASEAN NCAP menetapkan bahawa bagi membolehkan sesebuah kenderaan mendapat 5 bintang ujian kemalangan jalan raya ia mestilah memiliki sistem ESC dan juga 6 beg udara

Sistem kestabilan elektronik atau ESC boleh juga disebut sebagai ESP dan VSA merupakan sistem brek ABS (Anti Lock Braking System) yang akan mengaktifkan brek secara automatik sekiranya ia mendapati kereta ada risiko untuk terbabas.

ESC akan menerima input daripada halaju kereta, pedal minyak, halaju putaran roda, Yaw Rate, G Force, arah pergerakan kereta dan input steering sebelum memutuskan kereta akan terbabas dan mengambil alih kawalan serta mengekalkan kestabilan kereta.

Turut dipakejkan dalam ESC ialah kawalan cengkaman atau disebut Traction Control yang akan diaktifkan ketika kereta mula-mula bergerak. Sekiranya sistem ESC mendapati tayar tiada cengkaman di permukaan licin, ia akan menghantar isyarat pada sistem brek ABS supaya putaran tayar diperlahankan dan cengkaman tayar dan jalan dipulihkan semula pada halaju yang sesuai.

Ketika Traction Control beroperasi ia tidak melibatkan banyak input seperti ESC untuk beroperasi. Butang yang anda tengok itu sebenarnya boleh digunakan untuk mematikan fungsi Traction Control. Ini kerana setiap kali kereta dihidupkan, sistem VSC dan Traction Control akan dihidupkan secara automatik.

Butang yang disediakan ini membolehkan anda mematikan fungsi Traction Control apabila anda cuba membawa kereta keluar daripada tersangkut dalam lumpur atau salji. Tanpa Traction Control, tayar akan terus berpusing dan menggali lumpur sehingga ia terjumpa permukaan tanah yang lebih keras.

Itulah fungsi sebenar kita menekan butang Traction Control dan mematikan fungsi ini. Apabila ditekan, lampu amaran akan dipaparkan pada bahagian meter Sesetengah kereta juga membenarkan anda mematikan terus sistem VSC apabila butang ini ditekan melebihi 3 saat dan lampu amaran VSC OFF akan menyala

Jadi anda bolehla melakukan aksi drift apabila fungsi Traction Control dan Vehicle Stability Control dimatikan sekaligus. Tapi tahukah anda bahawa sistem VSC/ESC ini sebenarnya diharamkan untuk digunakan pada perlumbaan F1? Ini kerana FIA mendapati jika ciri ini digunakan, pelumba akan menjadi lebih laju beberapa detik.

Jika sistem ini memberi manfaat kepada pelumba F1, kami rasa anda tak patut mematikan fungsi ini pada kereta anda melainkan anda cuba keluar dari selut atau salji. Ataupun anda memang biasa buat drift. Kalau anda tak tahu, lebih baik jangan usik langsung butang ini.

Satu lagi amaran untuk anda, mematikan sistem VSC/ESC/VSA akan menyebabkan sistem AEB atau brek kecemasan automatik tidak berfungsi bagi sesetengah kereta. Jadi sebelum mematikan sistem ini, fikir dulu dengan baik-baik ya

Google ads
Back to top button