Buletin

AIK..? LAGI KENA BAYAR MASUK TENGOK JIRAN?!

Thailand akan mula mengenakan bayaran 300 baht (RM39.25) ke atas pelancong asing yang tiba di negara itu bermula Jun depan setelah cadangan tersebut dikemukakan pada tahun lalu.

Yuran itu difahamkan akan digunakan untuk membantu pelancong sekiranya berlaku kemalangan, selain membangunkan destinasi pelancongan.

Pelancongan adalah sektor utama di ekonomi kedua terbesar di negara Asia Tenggara itu dan menyumbangkan 12 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebelum pandemik COVID-19.

Perbelanjaan pelancongan diramal mencecah sekurang-kurangnya 2.38 trilion baht (RM311 bilion) pada tahun ini.

Pada 9 Januari lalu, Thailand telah membatalkan syarat wajib pelancong asing mesti mengemukakan bukti vaksinasi COVID-19. Menurut Menteri kesihatan, Anutin Charnvikul, tahap imunisasi di seluruh dunia adalah meyakinkan.

Malah, pelancong yang tidak menerima atau menolak vaksinasi juga dibenarkan untuk keluar masuk ke negara itu.

Thailand adalah antara destinasi pelancongan paling popular di Asia. Buktinya pada November lalu, Thailand telah menerima 1.75 juta pelancong, empat kali ganda berbanding jumlah tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan sama, Thailand menjangkakan tujuh hingga 10 juta pelancong China dan bukannya anggaran awal sekitar lima juta orang, bakal memasuki Thailand. – Buletin TV3

Google ads
Back to top button