Buletin

SIASATAN KES RASUAH AIRBUS. TONY FERNANDES LEPAS JAWATAN CEO AIRASIA

Ketua Pegawai Eksekutif  AirAsia,Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd (AAGB) Kamarudin Meranun dilapor bakal akan melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam kumpulan, berkuat kuasa serta merta berikutan siasatan rasuah Airbus.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, pelepasan itu akan berjalan untuk tempoh dua bulan atau satu tempoh lain yang dianggap sesuai.

Berikutan keadaan ekonomi semasa yang dihadapi oleh industri syarikat penerbangan, sebuah Jawatankuasa Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif yang ditubuhkan oleh Lembaga Pengarah AAGB telah memutuskan untuk mengekalkan mereka sebagai penasihat kepada syarikat dalam tempoh dua bulan tersebut.

Jawatankuasa ini dianggotai oleh ahli bukan eksekutif lembaga pengarah syarikat penerbangan itu.

“Berdasarkan kepada cadangan jawatankuasa berkenaan, Tharumalingam Kanagalingam telah dilantik sebagai pemangku interim Ketua Pegawai Eksekutif AAGB,” katanya.

Kamarudin dan Tony Fernandes akan dilantik semula sebagai ahli lembaga pengarah bukan bebas bukan eksekutif AAGB.

Saham AAGB dan AirAsia X Bhd menjunam dalam perdagangan aktif selepas laporan mengenai siasatan rasuah itu timbul.

Pada 5 petang, saham AirAsia Group susut 15 sen atau 10.49 peratus kepada RM1.28 dengan 57.67 juta saham bertukar tangan. Manakala AirAsia X merosot satu sen atau 7.69 peratus kepada 12 sen dengan 32.97 juta saham diniagakan.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam berkata ia akan meneliti kenyataan fakta dalam kes Regina menentang Airbus SE yang mendedahkan beberapa dakwaan terhadap AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

Mazda CX30

AirAsia menerusi kenyataannya pada Sabtu lepas, menafikan dakwaan rasuah terhadapnya. Syarikat itu  menegaskan bahawa ia tidak pernah terlibat dalam mana-mana siasatan Serious Fraud Office United Kingdom (SFO) mengenai Airbus atau diberikan sebarang peluang untuk menyediakan sebarang maklumat atau penjelasan kepada SFO.

AirAsia berkata demikian merujuk artikel bertajuk “AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say” di laman web focusmalaysia.my serta artikel-artikel lain yang tersiar di media berkaitan Persetujuan Pendakwaan Tertunda yang dicapai oleh Airbus SE dan SFO pada 31 Jan, 2020.

Artikel berkenaan mendakwa perjanjian tertentu oleh AirAsia untuk menempah pesawat Airbus adalah dikaitkan secara tidak wajar dengan penajaan oleh Airbus untuk sebuah pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh eksekutif AirAsia.

“AirAsia secara tegasnya menolak dan menafikan sebarang dan semua dakwaan salah laku ini,” menurut syarikat penerbangan kos rendah itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah memulakan siasatan terhadap dakwaan ke atas kedua-dua syarikat itu dengan menghubungi pihak berkuasa di United Kingdom. – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button