AIRASIA GROUP DIJANGKA RUGI RM1.1 BILION
AirAsia Group Bhd (AAGB) dijangka mencatat kerugian sebanyak RM1.1 bilion berikutan penularan wabak COVID-19, selain permintaan dan keuntungan yang kian menyusut di pasaran Malaysia, Thailand dan Filipina.
Ketiga-tiga penerbangan dalam kumpulan AAGB mempunyai pendedahan langsung kepada penerbangan ke China, Hong Kong dan Macau yang menjadi pusat wabak itu merebak.
Ketiga-tiga negara itu juga melibatkan jumlah pelancong yang ramai. Jadi, sekatan penerbangan ke/dari China oleh banyak negara semestinya memberi impak besar terhadap permintaan penerbangan.
Affin Hwang Capital dalam nota penyelidikannya hari ini memberitahu, langkah drastik syarikat penerbangan itu yang menggantung sementara semua penerbangan antarabangsa dan domestiknya bermula 28 Mac hingga 21 April membuktikan cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh industri penerbangan.
Dalam usaha mengukuhkan serta mengawal kos, pasukan pengurusan dan pekerja kanan membuat potongan gaji sukarela bermula daripada peringkat atasan sebanyak 15 hingga 100 peratus.
Affin Hwang Capital juga menjangkakan AirAsia bakal berunding dengan para pembekalnya untuk terus mengurangkan kos operasi. Ini melibatkan pajakan operasi, caj lapangan terbang, bahan api serta kos operasi dan penyelenggaraan.
Ia menjangkakan syarikat penerbangan tambang murah itu akan mencatatkan kerugian lebih besar pada 2020-2021 selepas merekodkan pendapatan lebih rendah susulan penggantungan penerbangan di samping unjuran terhadap industri.-
Menurut firma penyelidikan CGS-CIMB Research pula, AAGB tidak lagi dapat menarik minat pelabur. Wabak COVID-19 memburukkan lagi keadaan itu.
Dengan jangkaan kerugian tersebut, CGS-CIMB telah menurunkan sasaran harga (TP) AAGB kepada RM1.03 daripada RM1.58 sebelum ini.