Buletin

AIROVR UJI TUK-TUK TANPA PEMANDU. ADA BERANI NAK NAIK?

Jika anda pernah ke Thailand, terutama di Bangkok, pasti pernah terserempak dengan teksi tiga roda yang dikenali sebagai tuk-tuk.

Tuk-tuk menjadi mode pengangkutan yang pantas dan boleh dinaiki ramai penumpang berbanding motosikal. Walaupun tambangnya lebih mahal dan tidak selesa seperti teksi, tuk-tuk tetap menjadi pilihan.

Malah ia seakan-akan menjadi satu perkara yang wajib dicuba biarpun sekali sekiranya berkunjung ke sana.

Kini, sebuah start-up yang berpangkalan di Bangkok dilihat mahu membuatkan tuk-tuk lebih canggih untuk kegunaan masa depan. Airovr yang disokong oleh kerajaan Thailand dan pemaju hartanah, Siri Ventures dikatakan sedang sibuk membina tuk-tuk pertama dengan teknologi tanpa pemandu. Ujian itu mungkin memakan masa selama enam bulan.

Airovr akan menjalankan ujian di dalam sebuah kejiranan berpagar di Bangkok. Data yang diperolehi itu kemudian dipindahkan ke kenderaan lebih besar seperti bas mini dengan 15 tempat duduk kelak.

Bas mini itu akan dikilang oleh kerajaan dan pembuat kenderaan tempatan. Ia dijangka sedia untuk digunakan menjelang awal tahun 2021.

Tuk-tuk dipilih sebagai kenderaan ujian kerana ia jimat minyak, memerlukan sedikit alat ganti, mudah dan sesuai dengan iklim Thailand yang panas.

Namun, ini bukanlah tuk-tuk berwarna-warni yang biasa kita tengok. Sebaliknya, tuk-tuk Airvor mempunyai rekaan minimalis, selain dilengkapi skrin yang memaparkan maklumat pecutan dan baki tenaga elektrik di dalam tangki.

Sistem pemetaan 3D dipasang pada bumbung seperti siren polis. Sementara bahagian dalam ada stereng untuk digunakan oleh pemandu uji jika perlu.  

Kebanyakan teknologi pemanduan berautonomi yang canggih datang dari syarikat China dan Jepun seperti Baidu Inc, Pony.ai serta Toyota Motor Corp. Mereka membelanjakan berbilion ringgit ke atas pembangunan perisian, kerjasama dan ujian di atas jalan raya sebenar.

Thailand melihat teknologi ini sebagai relevan dalam industri automotif yang menjana 12 peratus ke atas produk domestik kasarnya.

“Program ini akan memberi keyakinan kepada penggubal undang-undang dan pengguna bahawa kenderaan sebegini boleh digunakan di atas jalan raya awam,” kata Ketua Penyelidik Agensi Pembangunan Teknologi dan Sains Kebangsaan Thailand, Ekkarut Viyanit.

Google ads
Back to top button