Artikel Pilihan

NI ALPINA, BUKAN BMW

Biasanya kalau orang sebut pasal BMW, perkara pertama jika anda mahukan sebuah BMW versi laju anda perlu mendapatkan BMW M (ini original, menjilat jari) atau BMW M-Sport (telah dicucuk silikon). Tapi tahukah anda BMW juga ada dikeluarkan khas oleh satu syarikat luar dengan Alpina. Kali pertama penulis nampak kira-kira 15 tahun lepas, mati-mati penulis ingatkan ada orang klonkan kereta BMW

Jadi kami bawakan anda fakta pantas, ringkas dan cepat berkenaan Alpina. Roll, action….

1. Pengasas Alpina berasal dari keluarga yang berada di Jerman dan keturunan mereka adalah boleh dijejaki berasal dari Belanda. Keluarga ini terkenal dalam perusahaan industri berat, tenaga pengajar di universiti dan Otto Rudolf Bovensiepen merupakan pengasas syarikat yang menghasilkan peralatan pejabat.

2. Otto mahukan anaknya Burkard Bovensiepen mewarisi perniagaan tersebut, namun Burkard lebih berminat dengan kejuruteraan automotif dan menubuhkan Alpina Burkard Bovensiepen dengan memberi fokus kepada penalaan enjin kereta BMW.

3. Namun sebelum bermula dengan BMW, Burkard cuba untuk menala Fiat 1500 dengan menukar sistem ekzos, aci sesondol yang agresif dan karburetor berkembar Webber yang meningkatkan 67 kepada 75 kuasa kuda. Namun idea ini berjaya sekejap sahaja kerana enjin mula mengalami pembakaran tidak teratur dan membebaskan asap hitam

4. Jadi Burkard membeli BMW 1500 pada tahun 1962 yang merupakan sedan terbaru daripada BMW yang menghasilkan 80 kuasa kuda sahaja. Namun Burkard tahu enjin tersebut ada potensi untuk dinaiktaraf. Percubaan pertama dia adalah dengan memasang sistem karburetor berkembar Webber dan enjin ini berjaya menghasilkan 96 kuasa kuda.

5. Menyedari kelemahan enjin asal, BMW melancarkan siri BMW 1800 yang menghasilkan kuasa 110 kuasa kuda dan 136Nm tork. Ramai pembeli asal BMW 1500 kecewa sebab enjin asal mereka tak cukup kuat. Burkard pula menyedari ini adalah peluang buat duit, jadi dia mula melancarkan pemasaran gerila dengan meletakkan flyers pada semua kereta BMW 1500 yang dijumpainya.

6. Dengan sekitar 950 Dorcth Marx, Burkard berjaya menghasilkan lebih kuasa untuk enjin bagi bersaing dengan enjin 1800cc. Kejayaan syarikat Alpina ini menarik perhatian salah seorang boss BMW iaitu Paul G Hanuman yang bukan sahaja menghargai kepakaran Alpina malah memberikan jaminan terhadap produk dan hasil kerja Alpina

7. Dengan penghargaan ini, ia menandakan satu hubungan simbiotik antara Alpina dan juga BMW bermula dari tahun 1964. Tapi secara rasmi, syarikat Alpina mula wujud pada tahun 1965 di Kaufbeuren dengan 8 orang kakitangan sebagai permulaan. Pada tahun 1970 bilangan kakitang meningkat kepada 70 orang.

8. Logo syarikat Alpina memaparkan 2 komponen utama dalam proses naiktaraf yang dibuat oleh mereka iaitu karburetor berkembar Webber dan juga aci engkol dalam proses naiktaraf enjin BMW yang digunakan mulai tahun 1967.

9. Antara tahun 1968 ke 1977 pasukan Alpina menyertai pelbagai perlumbaan seperti European Touring Car Championship, German Hill Climb Championship, perlumbaan rali dan Spa 24 Jam (tiada kaitan dengan rumah urut siam). Pasukan ini mengupah pemandu terkenal seperti Niki Lauda, James Hunt dan juga Jacky Ickx

10. Namun disebabkan isu halangan teknikal, Alpina mulai menarik diri dari perlumbaan menjelang 1988. Jika dibandingkan dengan M Division, Alpina mulai fokus kepada keluaran BMW yang lebih mewah, tork yang tinggi, dan menggunakan transmisi yang boleh dikawal di butang stering

11. Alpina juga menggunakan kepakaran mereka tersendiri dalam menghasilkan lebih kuasa. Sebagai contoh BMW E60 menggunakan enjin 5000cc V10 namun Alpina menggunakan enjin 4400cc V8 yang dipasang dengan supercaj.

 12. Tapi yang istimewanya ialah kenderaan talaan Alpina boleh dibeli melalui pengedar BMW, diservis di pusat servis BMW dan jaminan terhadap kualiti produk dijamin sepenuhnya oleh BMW. Ala macam AMG dengan Mercedes juga la cuma Alpina kekal sebagai syarikat bebas sehingga kini.

13. Dalam proses penghasilan kereta jenama Alpina, enjin pilihan akan dihasilkan di kilang Alpina, dihantar ke kilang BMW untuk dipasang dengan cesi dan kenderaan yang telah lengkap dipasang akan dihantar semula ke Alpina untuk beberapa proses tambahan termasuklah hiasan dalaman yang semuanya dihasilkan secara terhad dengan tangan. Limited bang….

14. Disebabkan oleh aktiviti perniagaan Alpina yang unik ini, Kementerian Pengankutan Jerman mengkelaskan Alpina adalah sebuah syarikat kenderaan Automotif OEM, bukannya sebagai sebuah syarikat tuner mulai tahun 1983. Ini bermakna setiap kereta Alpina memiliki no cesi yang berbeza dengan BMW.

15. Buat masa ini, selepas 55 tahun wujud Alpina menjual 7 model yang berbeza iaitu Alpina D3S (sedan/wagon), Alpina B3 (sedan/wagon), Alpina XD3 (suv), Alpina XD4 (suv), Alpina D5S, Alpina B5 Biturbo, Alpina XV7 dan Alpina B7. Semua model ini bermula dengan 2 model asal yang dibina oleh Alpina yang berasaskan BMW 3 Series dan BMW 5 Series.

16. Pada tahun 1978 Alpina melancarkan Alpina B6 2.8 yang dihasilkan berdasarkan cesi BMW 323i coupe dan dipasang dengan enjin 2800cc 6 silinder sebaris yang menghasilkan 200 kuasa kuda. Dengan gandingan transmisi Getrag 5 kelajuan ia mencatatkan masa 6.9 saat bagi pecutan 0-100km/j. Sebagai perbandingan BMW 323i hanya menghasilkan 140 kuasa kuda.

17. Alpina turut menaiktaraf sistem suspensi, brek yang lebih baik, kusyen Recaro, rim sport 20 jejari dan juga stering Momo. Kereta ini lebih mewah, lebih laju dan brek dengan lebih baik daripada kereta asal. Tak cukup dengan B6, mereka turut melancarkan Alpina B7 Turbo yang diasaskan berdasarkan cesi BMW E12.

18. Enjin asal 3000cc dilengkapkan dengan sistem turbo 0.85 bar bagi menghasilkan 300 kuasa kuda dan 462Nm tork. Transmisi Getrag 5 kelajuan dipasang bagi menerima kuasa yang lebih kuat. Spring asal digantikan dengan jenama Bilstein, dan cakera brek yang lebih besar. B7 mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.1 saat dengan laju maksima 250km/j.

19. Kedua-dua kereta ini sebenarnya dihasilkan untuk mencabar Lamborghini dan Ferrari dari segi prestasi namun menawarkan keselesaan dan kemewahan sebuah kereta sedan. Model terkini B7 diasaskan daripad BMW 7 Series tapi BMW pun tak menghasilkan BMW 7 M. Model terbaru ini menghasilkan 608 kuasa kuda dan pecutannya dari 0-100km/j ialah 3.6 saat. Power gile bhai…

20. Alpina hanya menjual sekitar 2000 unit kenderaan setahun dari 7 model yang dihasilkan oleh mereka, satu angka yang kecil jika dibandingkan dengan model asal BMW. Mereka lebih mementingkan kualiti berbanding dengan kuantiti. Keluarga Bovensiepen masih lagi mengetuai syarikat Alpina sehingga kini dan ia kekal sebagai sebuah bisnes keluarga.

Tags
Google ads
Back to top button