Artikel Pilihan

KENA LULUS VTA, BARU BOLEH JUAL. JUAL KERETA BUKAN MACAM JUAL KAIN

2 3 hari lepas kecoh warga maya dengan iklan kereta elektrik dari negara komunis dengan harga sekitar RM 14 ribu sahaja. Kereta elektrik, murah pulak tu, dan boleh muat 2 orang. Maka berbondong-bondonglah warga maya menekan butang kongsi di laman maya, mungkin kerana terlalu gembira.

Sama seperti pelancaran Trak Tesla, penulis tidak teruja sangat pasal kereta elektrik yang murah buatan negara China ini disebabkan beberapa perkara. Yang pertama ialah rekaan yang “crop and paste“. Dari depan guna rekaan Mini Cooper dan belakang nampak macam Mercedes. Isu kedua ialah VTA.

Vehicle Type Approval (VTA) atau Kelulusan Jenis Kenderaan ini merupakan satu kaedah atau proses yang dijalankan pada semua model baru yang akan dijual di Malaysia sebelum ia boleh dijual atau didaftarkan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya.

Proses ini akan mengenalpasti identiti, dimensi, berat, spesifikasi teknikal, ciri-ciri fizikal supaya kenderaan yang dijual melepasi semua keperluan dan syarat yang ditetapkam di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

Senang cerita, kalau tiada kelulusan VTA ini kenderaan tersebut tidak boleh digunakan di atas jalan raya dan tidak boleh didaftarkan. Kerajaan cuba memastikan produk yang dijual adalah selamat sebelum dipasarkan. Penulis telah sediakan beberapa poin penting agar pembaca Mekanika memahami isu VTA ini.

1. Untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam standard keselamatan antarabangsa, kita telah menyertai World Forum for Harmonization of Vehicle Regulations (WP29). Ahli kepada pertubuhan ini bertanggungjawab untuk mengadaptasi peraturan United Nations (UN) sebagai penanda aras bagi tahap kualiti produk automotif yang dipasarkan.

Peraturan ini diserap masuk dalam Kaedah Kaedah Pengangkutan Jalan dan dilaksanakan oleh Bahagian Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan

2. VTA akan dianggotai oleh Jawatankuasa National Committee for Type Approval (VTA) and Homologation bagi memastikan proses berjalan lancar. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan dan dianggotai oleh 14 kementerian/agensi kerajaan.

Antaranya ialah MOT, Miti, KPDNKK, APAD, JPJ, JAS, Kastam, Jabtan Standard, DOSH, MIROS, SIRIM, Puspakom, MOF dan PDRM. Mak Cik Kiah membekalkan pisang goreng ketika mesyuarat dijalankan.

3. Pengeluar perlu membuat permohonan, menghantar laporan ujian teknikal daripada badan yang diiktiraf, dan 10 lampiran tambahan yang perlu dipatuhi. Proses penilaian akan mengambil masa sekitar 20 hari. Pihak pengeluar juga perlu membuat pembentangan berkenaan kepada jawatankuasa berkenaan kenderaan.

4. Kenderaan yang diuji akan dihantar kepada jawatankuasa bagi tujuan penilaian fizikal dan juga pandu uji. Ketika ini semua komponen atau ciri fizikal kenderaan akan diuji, dan sekiranya perlu pengeluar perlu melakukan pembaikan pada mana mana aspek yang ada kelemahan.

5. Setelah semua prosedur dan proses dijalankan Jawatankuasa National Committee for Type Approval (VTA) and Homologation akan mengadakan mesyuarat dengan sekurang-kurangnya 2/3 kehadiran ahli dan mendapat sokongan 2/3 ahli mesyurat untuk kelulusan VTA bagi satu -satu model baru.

Setelah mendapat kelulusan, barulah jawatankuasa VTA akan mengeluarkan sijil VTA seperti gambar

6. Terdapat 7 kategori motosikal, 3 kenderaan penumpang, 3 kategori kenderaan perdagangan, dan 4 kategori trailer yang boleh dipandu di atas jalan. Untuk lain-lain kategori anda boleh semak di laman sesawang JPJ

7. Pada awal pengenalannya, terdapat 54 peraturan United Nation diperkenalkan. Tambahan undang-undang ini dibuat pada 2015 sebanyak 24 perkara, ditambah lagi sebanyak 22 peraturan pada tahun 2017 dan terakhir pada 1 Jan 2020 sebanyak 19 peraturan baru ditambah.

8. Bagi kategori M1 iaitu kenderaan penumpang, terdapat 57 undang-undang yang digunakan merangkumi kategori keselamatan pasif, kawalan pencemaran, aspek keselamatan umum, dan juga aspek keselamatan aktif. Anda boleh merujuk prosedur penuh VTA di SINI

Sikit je ada 122 muka surat untuk anda baca

9. Bagi membolehkan sebuah kereta elektrik dijual, ia mesti memenuhi syarat asas VTA dan memenuhi ketetapan tambahan seperti kelajuan maksima melebihi 50km/j, berupaya mendaki cerun dengan sudut 20%, spesifikasi yang diakui kompeten oleh badan bertauliah, memenuhi syarat khas EV iaitu UNR100 dan sistem pendawaian yang kompeten

Anda boleh memuat turun dokumen dengan 52 halaman berkenaan UNR100 di link di atas

Untuk membolehkan kereta elektrik di jual ia wajib melepasi prosedur ujian VTA dan juga ujian tambahan UNR100 sebelum diluluskan untuk digunakan di atas jalan. Kalau anda bercadang untuk beli kenderaan yang belum diluluskan, hmmmm semoga berjaya. Mungkin lepas la nak pusing-pusing taman perumahan

Google ads
Back to top button