Buletin

AMBULANS TERBALIK DILANGGAR DALAM PERJALANAN KE HOSPITAL

Sebuah ambulans dalam perjalanan ke Hospital Kulim terbalik selepas dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Simpang Empat berhampiran persimpangan lampu isyarat Pejabat Pendidikan Daerah Kulim, Kulim Kedah.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10.30 pagi itu, pemandu dan tiga penjawat hospital swasta terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat ambulans terbabit dikatakan memasang siren kecemasan dan melepasi lampu isyarat.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebuah kereta datang dari arah kiri melanggar bahagian tengah ambulan sehingga terbalik,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, akibat perlanggaran itu ambulan terbalik di atas jalan.

“Pemandu serta tiga individu berada dalam ambulan terselamat tanpa mengalami kecederaan.

“Manakala pemandu kereta itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – AWANI

Google ads
Back to top button