
BUDAK JADI ‘POLIS TRAFIK’ BANTU AMBULANS REDAH KESESAKAN LALU LINTAS
Seorang kanak-kanak menjadi viral di media sosial apabila bertindak membantu sebuah ambulans meredah kesesakan lalu lintas di Jalan Soekarno, Indonesia.
Video berkenaan dimuat naik seorang lelaki yang memperoleh rakaman tersebut melalui rakannya di dalam ambulans terbabit.
Menurut laporan Tribunnews, kanak-kanak yang berada di atas jalan raya itu sanggup berjalan mengundur ke belakang bagi memberikan ambulans laluan untuk sampai ke hospital dengan kadar segera.
Menurut Teebob, rakannya sedang membawa pesakit yang mengalami sakit jantung untuk ke Hospital Kota Bandung.
Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Adrian datang membantu membuka laluan.
Kanak-kanak itu tinggal bersama ibu dan bapanya yang bekerja menjual tisu serta air mineral di persimpangan lampu isyarat Samsat-Kircon.
Adrian berusia tujuh tahun dikatakan belum boleh membaca dan tidak meneruskan persekolahan akibat pernah dibuli.
Berikutan itu, Teebob dan rakan-rakannya mengambil inisiatif membantu Adrian dengan memberikan bantuan pendidikan. – agensi