Buletin

APRC 2019 – HERO LOKAL MENANG RALLY OF INDONESIA

Tahun ini rasanya Brader Karrager langsung tidak membawakan perkhabaran tentang perlumbaan rali ulung di rantau ini, Asian Rally Pacific Championship (APRC). Iyalah, rali di tempat kita pun sedang berehat buat seketika dariapda menganjurkan perlumbaan baik di peringkat tempatan mahupun serantau. Sendulah sikit. Tapi sebenarnya minggu lepas telah berlangsung pusingan kelima dalam kalendar APRC 2019 yang berlangsung di Medan.

Perlumbaan APRC Rally of Indonesia yang turut dilangsungkan serentak dengan Kejuaraan Nasional (Kejurnas) berjaya menarik perhatian seramai 62 orang pelumba tempatan serta seorang pelumba dari Itali yang memandu Peugeot 208.

Dengan bentuk muka bumi yang hampir sama dengan Ladang Tai Tak, sudah tentu ianya dianggap suatu perlumbaan yang cukup mencabar dan menarik. Dan akhirnya, pelumba tempatan, Rihan Variza yang memandu Mazda 2 AP4 berjaya menggungguli saingan sedari Leg 1 lagi. Pelumba Fabio Frisiero dari Itali jelas bukan saingan buat Rihan Variza dan juga Mazda 2 AP4 ini.

Tamat hari saingan, Rihan Variza berjaya mendahului sehingga 13 minit 59.2 saat meninggalkan seorang lagi pemandu tempatan, Priamanaya Djan yang memandu Mitsubishi Evo X. Manakala tempat ketiga berjaya diraih Aldrian Suwardi yang memandu Mitsubishi Evi IX.

Yang pasti, perlumbaan APRC ini dilihat agak meriah dengan sambutan daripada pelumba tempatan untuk Kejuaraan Nasional (Kejurnas). Cumanya sambutan daripada pelumba luar untuk APRC barangkali sedikit sendu. Tiada kelibat pelumba regular APRC seperti Mike Young.

Gabenor Sumatera Utara Edy Rahmayadi yang melepaskan para peserta turut menyatakan rasa gembira dengan penganjuran APRC di Medan ini. Apatah lagi, kali terakhir ianya dijalankan 10 tahun yang lalu. Menurutnya lagi, beliau turut menyasarkan agar Medan disenaraikan dalam kalendar WRC pada tahun 2022 nanti. Suka untuk Brader Karrager kongsikan bahawa Medan pernah menganjurkan perlumbaan WRC pada tahun 1997.

Yang menariknya, wakil FIA, Wayne Scott yang merupakan Chairman Stewart turut memberikan reaksi positif bagi cadangan penganjuran perlumbaan WRC tersebut. Apatah lagi Medan sebelum ini sememangnya pernah menganjurkannya sebelum ini.

Oh ya, masih ingat lagikah tentang perkhabaran Mitsubishi Xpander AP4 tempohari? Ingatkan ada berlumba sama, tapi gayanya belum bersedia. Dengar kata, Xpander Rally Team telah ditubuhkan dan dijangka berlumba di NZRC Goldrush Rally of Coromandel, New Zealand pada bulan 9 nanti serta bakal menyertai perlumbaan peringkat tempatan sehingga hujung tahun ini.

BACA : IROJ 2018 – YUYA SUMIYAMA DAN RACHMAT MENGUASAI APRUC & MRC

BACA : SAINGAN ASIA PACIFIC RALLY CHAMPIONSHIP YANG PATUT KITA KETAHUI

Tags
Google ads
Back to top button