Motosikal

SUPER KIP SAH KEMBALI BERSAING DI MOTO2 BRNO HUJUNG MINGGU INI!

Selepas terpaksa berehat daripada enam pusingan akibat kecederaan jari yang dialami di litar Jerez pada Mei lalu, pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mengesahkan bahawa dia bakal kembali beraksi di Litar Brno, hujung minggu ini. 

Khairul mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Doktor Mir dan pasukannya kerana berjaya menyelamatkan jarinya. Proses penyembuhan berjalan dengan baik walaupun jarinya tidaklah 100 peratus pulih dan kuat. 

“Tetapi saya tiada masalah untuk berlumba dan rasa semakin kuat setiap hari,” katanya.

Sepanjang ketiadaannya, tempat Khairul diisi oleh pelumba pasukan Petronas Kalex iaitu Mattia Pasini dan Jonas Folger. Sebelum mengalami kecederaan, dia berjaya mencatat kedudukan ke-13 terbaik.  

Lebih dikenali sebagai Super KIP, pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak itu kini cukup bersemangat untuk kekal berada di kelompok 15 pelumba terbaik.

Memandangkan dia terlepas banyak perlumbaan, memang agak sukar untuk meneruskan rentak cemerlang. 

“Saya sukakan Litar Brno kerana ia mempunyai banyak selekoh laju. Saya ada banyak kenangan manis di sana dalam perlumbaan Moto2 dan Moto3. Jadi saya akan cuba yang terbaik di sana. Sokongan daripada pasukan, keluarga dan peminat sangat penting dan memberikan motivasi yang saya perlukan,” katanya lagi. 

Apa pun, selamat maju jaya untuk perlumbaan hujung minggu ini! 

Google ads
Back to top button